ULASAN FILEM | Tiga keping, 14 Disember - itu adalah tiket dan tarikh yang ditempah untuk menonton Star Wars: The Last Jedi bersama anak-anak sempena cuti sekolah.

Ada satu perkara yang tidak mudah untuk menonton kali ini. Kedua-dua anak aku tidak pernah menonton mana-mana filem Star Wars secara menyeluruh sebelum ini.

Jadi, tiga hari sebelum tarikh itu kami bermaraton menonton Star Wars dari episod satu hingga tujuh (termasuk episod 3.5, Rogue One).

Dan menonton semula episod pertama hingga ketiga bukan perkara mudah. Ia umpama menonton persidangan parlimen yang penuh dengan fakta carut, atau kau terpaksa menadah telinga mendengar hujah satu hala seseorang yang memikir hanya pendapatnya saja yang benar. Ya, bosan!

Tidak dinafikan kemunculan trilogi pertama Star Wars sekitar 1977 - yang merupakan zaman kegelapan Hollywood - berjaya memberi impak yang besar.

Ia bukan sahaja memberi nafas baru kepada industri perfileman Hollywood malah menumbuhkan satu kepercayaan baru dalam jiwa penonton.

George Lucas berjaya memekarkan ideologi tentang pertarungan antara kejahatan dan kebaikan, falsafah, sejarah, teknologi dan hala tuju perfileman selepas itu melalui episod keempat, kelima dan keenamnya.

Nostalgia pernah malap

Kegagalan trilogi kedua yang bermula sekitar 1999 hingga 2005 memang tidak dapat disangkalkan.

Sehingga kini pun, ia merupakan titik hitam dalam kumpulan filem opera angkasa ini.

Namun kegagalan itu tidak memutuskan perjuangan opera ini dan pada 015, trilogi ketiga bermula dengan pembukaan cerita The Force Awaken.

Walaupun ia masih dikritik hebat, tetapi The Force Awaken yang merupakan episod ketujuh berjaya mengembalikan nostalgia yang malap sebelum ini.

Dan impak paling besar berlaku pada 2016 dengan kehadiran Rogue One yang menjadi pelengkap kepada episod tiga dan empat.

Aura yang dibawa di dalam Rogue One tiada cacat cela dan berjaya menyemarakkan semula harapan terhadap filem ini.

The Last Jedi juga tidak menghampakan. Segala-gala yang terhidang sungguh enak dan menyelerakan. Bara serpihan dari The Force Awaken dan Rogue One kembali menjadi api.

The Last Jedi membawa penonton mengembara bersama kumpulan pemberontak yang telah tinggal sedikit melarikan diri dari buruan The First Order.

Pertarungan tak menghampakan

Konflik perjalanan Rey yang mencari asal usulnya, pergolakan dalam jiwa Ben Solo yang membara selepas dia membunuh ayahnya, kebersalahan Luke Skywalker kerana gagal mendidik Ben Solo - semua disusun rapi.

Kehadiran satu susuk dikenali dan disanjungi juga menambah seri di dalam filem ini. Setiap drama, konflik dan pertarungan tidak menghampakan.

Pertarungan udara di antara Millineum Falcon dan Tie Fighter seperti dari episod keempat hingga ketujuh tidak pernah mengecewakan.

Kemunculan AT-AT yang sangat ikonik itu juga berjaya menjadi pelengkap bagi keseluruhan filem.

Apa lagi yang perlu dikatakan?

Episod kelapan ini mempunyai gelombang tenaga dan emosi yang memenara mencapai konflik setiap wataknya yang mahu melepaskan diri daripada cengkaman kejahatan sehingga menuntut pengorbanan, dan yang semestinya, pertarungan antara Jedi yang tidak menghampakan.

The Last Jedi merupakan filem yang mengutip kembali sisa-sisa trilogi terdahulu untuk dicantumkan semula satu persatu dengan cermat.

Ia juga cuba memberi gambaran kepada penonton mengenai apa yang bakal mereka tontoni selepas ini.

Semoga 2019 nanti episod kesembilan mampu memberi impak yang lebih besar sebagai penutup trilogi emas opera angkasa yang melangkaui zaman ini.