Keunikan The Sacred Riana si juara AGT musim kedua
Sangat sedikit berkata-kata dan tampil dengan wajah tanpa perasaan kekal menjadi identiti juara rancangan Asia’s Got Talent (AGT) musim kedua, The Sacred Riana.
Watak yang dipaparkan wanita itu membolehkan dia mengalahkan peserta lain dalam pusingan akhir siri realiti itu.
Antara kegemaran The Sacred Riana semasa membuat persembahan AGT musim kedua ialah mengusik salah seorang juri, Anggun, dan pada masa sama menarik perhatian dua penilai lain - David Foster dan Jay Park.
Sebenarnya bukan itu satu-satunya ciri unik dimiliki The Sacred Riana atau nama penuhnya Marie Antoinette Riana Graharan.
Mengalihkan objek: Peserta berusia 25 tahun dari Indonesia itu juga kerap mencuri perhatian kerana kemampuannya menggerakkan objek seperti kunci yang ada pada tangannya.
Renungan tajam: The Sacred Riana juga boleh menggerak-gerakkan kepala dengan gaya yang menggetarkan perasaan. Bagaimanapun, lebih membuat penonton berasa seram ialah pandangan tajam yang diarahkannya kepada penonton. Rambut panjangnya pula sengaja dibiarkan menutupi separuh daripada wajahnya.

Gaya berdiri: Salah satu kelainan The Sacred Riana ialah membengkokkan salah satu kakinya semasa berdiri.
Pakaian: Dari segi penampilan, The Sacred Riana selalu mengenakan gaun berlengan panjang dan labuh hingga ke paras lutut, sambil dipadankan dengan stokin.
'Teman' di atas pentas: Setiap kali muncul di atas pentas, aksesori tambahan yang tidak pernah ditinggalkan The Sacred Riana ialah sebuah boneka. Objek itu akan menjadi temannya - sama ada dijinjing atau dipeluknya.
Anehnya boneka berkenaan juga dipakaikan pakaian saling tak ubah seperti dipakai The Sacred Riana.
Untuk rekod, ini AGT adalah pertandingan kedua disertai The Sacred Riana.
Sebelum ini dia pernah menjadi peserta rancangan The Next Mentalist yang ditayangkan di sebuah stesen televisyen di Jakarta.

