Peminat Star Wars batalkan petisyen
Peminat tegar yang melancarkan petisyen bagi menggesa filem Star Wars The Last Jedi dikeluarkan daripada daftar filem (kanon utama) Star Wars Universe menarik balik tindakannya itu setelah berpendapat tumpuan harus diberikan terhadap sebab-sebab yang lebih wajar.
Henry Walsh yang melancarkan petisyen itu di Change.org berkata dia berbuat demikian kerana perhatian yang diterima daripada petisyen itu tidak seperti yang diharapkannya.
"Walaupun menyokong petisyen ini penting dan saya juga mempunyai keinginan yang mendalam terhadap Star Wars, saya cadangkan agar kita sampaikan perkara ini dengan arah tuju yang baru.
"Terdapat banyak orang dan penyebabnya yang memerlukan bantuan dan kami berada di sini untuk Star Wars"
Dalam petisyen berkenaan sebelum ini, Walsh menulis beberapa perkara yang menyebabkan dia kurang kagum dengan filem arahan Rian Johnson itu.
Menurutnya filem itu telah memusnahkan legasi Luke Skywalker dan Jedi serta menuntut filem tersebut dihasilkan semula dengan memelihara integriti legasi dan karakter paling popular dalam Star Wars Universe.
“Star Wars biasanya mengisahkan dua perkara, Jedi dan Luke Skywalker.
"Selepas 260 novel di mana kami mengikuti perkembangan hero berkenaan, syarikat Walt Disney mengambil keputusan menjahanamkan segalanya dan menghancurkan tradisi selama tiga dekad.
“Kami sangat teruja untuk menonton Episod VII bagi melihat kehidupan pahlawan yang kami kenali. Kami melihat kematian Han Solo dan kami menonton Luke Skywalker kurang daripada seminit,” katanya.
Walsh berpendapat kelemahan itu hanya boleh diperbaiki dengan mengeluarkan filem itu daripada kanon utama Star Wars Universe.
Petisyen berkenaan sebelum ini dihantar ke Walt Disney dan menerima sebanyak 25,652 tandatangan, melebihi target sasaran 10,000.

