Filem tentang tandas jadi inspirasi Bill Gates tahun ini
Sebuah filem 'kotor' yang pada masa sama menyelitkan kempen kebersihan berjaya menarik perhatian dan menyentuh hati hartawan Bill Gates.
Filem tersebut yang berjudul Toilet: Ek Prem Katha termasuk dalam tujuh twit yang menjadi pilihan pengasa bersama Microsoft itu sepanjang 2017.
"Tidak dinafikan 2017 menjadi tahun yang sangat sukar...tetapi ia juga mengilhamkan beberapa saat indah mengenai harapan dan kemajuan. Ini adalah beberapa twit penuh inspirasi yang mungkin anda terlepas pandang.
"Toilet: A Love Story, sebuah filem cinta Bollywood mengenai pasangan baru berkahwin, mendidik penonton mengenai cabaran tahap kebersihan di India.
"Beberapa twit ini membuatkan saya merasakan lebih baik tentang 2017 dan lebih optimistik untuk tahun depan. Apa pula twit yang memberi insipirasi kepada anda?" katanya di Twitter, dua hari lalu.
Filem komedi satira arahan Shree Narayan Singh itu antaranya dibintangi Akshay Kumar, Bhumi Pednekar, Anupam Kher dan Sudhir Pandey dan ditayangkan 11 Ogos lalu, empat hari sebelum India menyambut hari kemerdekaannya.

Toilet: A Love Story bertemakan pembasmian amalan membuang air secara terbuka, terutama di kawasan bandar.
Ia mengisahkan kehidupan Jaya (Bhumi Pednekar) yang berkahwin dengan Keshav (Akshay Kumar) tetapi kemudiannya memfailkan cerai atas sebab rumah mereka tidak memiliki tandas dan dia terpaksa membuang air di dalam semak.
Akshay - aktor terkenal Bollywood - sejak akhir-akhir ini sering muncul dalam projek yang memberikan semangat dan inspirasi kepada penonton.
Maka tidak hairan jika naskah ini, di mana dia merupakan salah seorang penerbitnya, menarik perhatian Gates.
Menerusi semakan Malaysiakini, perkongsian Gates itu sudah mendapat 5,800 retweet dan 20,619 like.

