Vokalis Oasis, Liam Gallagher, mengesahkan perseteruan dia dengan abangnya, Noel Gallagher, tamat selepas bertahun-tahun berdepan konflik.

Liam dan abangnya jarang berkomunikasi secara harmoni sejak 2009 selepas Oasis berpecah.

Kini dengan perkembangan baru itu Liam berharap untuk membuat kemunculan semula band rock itu.

Melalui akaun Twitter miliknya, Liam, 45, mendedahkan hubungan mereka kian mesra selepas seorang daripada abangnya itu menghubunginya menjelang perayaan Krismas.

“Saya mahu mengucapkan selama hari Krismas kepada NG, ia tahun yang hebat terima kasih untuk segala-galanya. Tidak sabar untuk bertemu esok seperti biasa, LG,” katanya.

Ketegangan mencapai tahap kemuncak pada 28 Ogos 2009 apabila adik-beradik itu terbabit dalam pergaduhan di belakang pentas di Paris. Orang awam melaporkan melihat Liam mencampak dan menghancurkan gitar Noel.

Persembahan yang sepatutnya dijadualkan di festival Rock en Seine petang itu terpaksa dibatalkan beberapa minit sebelum ia bermula, menyebabkan ribuan peminat kecewa.

Noel kemudian mengeluarkan kenyatan dalam laman web kumpulan berkenaan dua jam kemudian: “Dengan kesedihan dan kelegaan teramat sangat, saya keluar dari Oasis malam ini.

“Sesiapa saja boleh menulis apa yang mereka mahu, tetapi saya tidak dapat bekerja lebih lama dengan Liam walau untuk sehari lagi,” katanya.

Peminat mula membuat spekulasi bahawa pasukan NG itu merujuk kepada abangnya (Noel) termasuk bekas anggota Oasis yang lain dan membanjiri ruang komen dengan mesej yang menggambarkan keterujaan mereka.

Namun, selepas bertahun-tahun menghadapi konflik, seorang peminat menyatakan keraguannya terhadap apa yang diluahkan Liam menerusi twitnya itu.

“Pasukan siapa? Kamu tidak akan gembira semasa Krismas jika Liam tidak menghubungi kamu bukan?” kata peminat itu.

Bagaimanapun, Liam membalas dengan respon: “Dia sudah menghubungi. Kami sudah berbaik semula.”

Semuanya berlaku bulan lalu selepas Liam meluahkan kerinduan terhadap abangnya itu, dan benci membuat persembahan tanpa Noel.

“Saya tidak mahu menjadi solo. Saya tidak mahu melakukannya sendirian - saya bukan pemain gitar atau penulis lagu hebat.

“Saya merindui abang saya seperti dirinya yang dulu dan merindui menyanyi lagu hebat yang kami pernah hasilkan.

Liam mengesahkan sudah berbaik semula dengan Noel seminggu kemudian.

“Saya berharap kami kembali bersama. Bukan hanya demi Oasis tetapi kerana adik-beradik. Cukup cukuplah,” katanya.