Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Susulan isu kematian penyanyi K-Pop, Kim Jong-hyun yang diratapi sebahagian peminat beragama Islam di Malaysia, seorang penceramah bebas menyarankan agar mereka tidak menjadi kecaman.

Sebaliknya, Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussein berkata, pendakwah Islam atau Jabatan Mufti perlu menjadikan mereka sebagai sasaran dakwah.

"Jangan (kita) mencela atau memaki mereka, jauh sekali menjatuhkan hukum kepada mereka. Sebaliknya, menjelaskan kepada mereka bahawa amalan tersebut tidak wajar dilakukan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 100 peminat berkumpul di tepi Sungai Klang dekat Masjid Jamek, Kuala Lumpur baru-baru ini untuk memperingati mendiang Jong-hyun yang mati pada 18 Disember lalu.

Peminat yang kebanyakan dari kawasan Lembah Klang tidak kira bangsa dilihat meratapi sambil memberi penghormatan terakhir ke atas selebriti Korea yang mati akibat meragut nyawa sendiri.

Sambil menyalakan lilin dan memegang belon, rata-rata mereka yang merupakan gadis remaja menitiskan air mata kerana terpaksa ‘melepaskan’ bekas vokalis boy band Shinee itu pergi buat selama-lamanya.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menegaskan upacara memperingati individu bukan muslim oleh umat Islam itu sebagai haram.

Taasub dilarang dalam agama

Sementara itu, Wan Ji berkata dalam Islam perbuatan melukakan diri sendiri adalah dilarang apatah lagi membunuh diri yang jelas diharamkan oleh agama.

Beliau menyifatkan tindakan remaja berkenaan disebabkan sifat taasub mereka kepada artis pujaan.

"Taasub kepada ulama pun dilarang dalam agama. Justeru, amalan taasub itu wajar dielak, sama ada dalam perkara agama, lebih-lebih lagi terhadap artis.

"Setakat ini, saya tidak berjumpa lagi seorang pun ulama Islam yang membenarkan amalan memperingati kematian seseorang dalam kerangka taasub ini.

"Dalam tradisi ahli sunnah wal-jamaah pula, amat jelas menolak amalan meratap kematian," jelasnya.

 

Lihat Komen
ADS