Namewee sedih Malaysia tak termasuk konsert jelajahnya
Penyanyi rap kontroversi Namewee baru sahaja memulakan konsert jelajah "4896 world tour", tetapi nampaknya Malaysia tidak akan menjad salah satu destinasinya, sekurang-kurangnya setakat ini.
Menerusi rakaman yang dimuatnaik di saluran Youtubenya dua hari lalu, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee mendakwa berhadapan masalah ketika mahu membuat permohonan mengadakan konsert pada Kementerian Dalam Negeri.
"Mujurlah mereka tidak menolak saya secara terus, sebaliknya meminta saya untuk tidak menghantar permohonan.
"Menurut mereka, ada perkara "besar" akan berlaku antara Februari dan April, maka tidak sesuai untuk mengadakan konsert (pada tempoh itu," katanya.

Namewee mendakwa jika dia menghantar permohonan itu dan kemudiannya ditolak, ia akan mencetuskan masalah.
"Memalukan jika mereka menolak permohonan yang dihantar saya. Jadi mereka kata, 'bagaimana jika anda tidak membuat permohonan langsung'," katanya.
Dia tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, memandangkan beberapa bintang dari Korea dan penyanyi pop seperti Jay Chou (gambar) dan Jackie Cheung akan mengadakan konsert di sini beberapa bulan akan datang.
Namewee berkata, dia benar-benar berhajat mengadakan konsert di Malaysia selepas persembahannya di Taiwan baru-baru ini mencatat kejayaan yang memberangsangkan.

"Jika ada mahu menyokong konsert '4896 world tour' saya, anda boleh pergi ke destinasi terdekat, iaitu Singapura, pada 3 Februari ini," katanya.
Dia berharap akan dapat membuat persembahan di Malaysia pada masa akan datang, apatah lagi selepas bekerja keras mempromosikan negara di luar.
"Saya harap kerajaan sedar apa yang telah saya lakukan. Jangan hakimi saya dengan tanggapan-tanggapan sedia ada," katanya.
Penyanyi dan komposer berusia 34 tahun itu mula dikenali melalui muzik video di Youtube yang berkisarkan isu semasa negara pada 2007.
Dia pernah ditahan beberapa kali ekoran videonya itu, tetapi tidak pernah didakwa.
Semakin aktif berkarya dalam beberapa tahun ini, dia berjaya mengumpul ramai peminat menerusi atas talian dan juga di negara serantau.

