Kewibawaan penyanyi dan pencipta lagu, ND Lala, menyampaikan ceramah motivasi untuk membina perniagaan serta kekayaan dipertikaikan apabila dia didakwa mengelirukan orang ramai dengan meletakkan pengalamannya menyertai syarikat pemasaran pelbagai tingkat (MLM) yang didakwa bersifat skim piramid.

Bagaimanapun penyanyi yang terkenal pada era 1980-an itu menjelaskan, apa yang dilakukannya tidak menyalahi undang-undang.

Malah kata ND Lala, apa yang dilakukan untuk berkongsi rahsia kejayaan menjadi usahawan itu dijalankan pada landasan yang betul.

Menjelaskan lebih lanjut, kata ND Lala, program Jihad Ekonomi Bersama ND Lala yang dipertikaikan itu bersifat keusahawanan dan langsung tidak membicarakan sebarang bentuk perniagaan berbentuk MLM atau yang mengamalkan skim piramid.

Sebaliknya kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Assalamualaikum YB itu program berkenaan diisi dengan sesi penerangan berkaitan langkah mewujudkan usahawan berdaya saing, menghasilkan ekonomi baru melalui keusahawanan dan perubahan struktur perniagaan serta menjana gelombang kekayaan baru.

Mengenai pihak yang mengkritiknya kerana mencanangkan “kejayaan” silamnya bersama syarikat Uptrend Network Sdn Bhd (Uptrend), ND Lala berkata, terserah kepada masyarakat untuk membuat kesimpulan begitu.

Didakwa tidak jual produk

“Profil saya untuk seminar itu adalah bahan bercetak. Kalau ada salah di mana-mana, boleh ambil ia sebagai bukti.

“Saya memaparkan maklumat berkenaan dengan bertanggungjawab, dilengkapi dengan gambar dan nombor telefon,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Sebuah akaun Facebook yang banyak membuat pendedahan berkaitan amalan skim cepat kaya baru-baru ini mempertikaikan tindakan ND Lala memberi ceramah motivasi dengan menonjolkan "kejayaannya" bersama syarikat Uptrend.

Pseudoscience Watch mendakwa profil digunakan ND Lala untuk program Jihad Ekonomi Bersama ND Lala di Universiti Selangor (Unisel) menyenaraikan pencapaiannya dalam syarikat Uptrend sebagai "anugerah".

Menurut pihak terbabit syarikat berkenaan bukan menjual sebarang produk atau perkhidmatan sebaliknya mencari orang lain untuk ditaja sebagai anggota bawahan.

Amalan itu biasanya dipraktikkan dalam skim piramid atau cepat kaya.

Program ND Lala itu dijalankan di Unisel pada 14 Dis lalu.

Untuk rekod Pseudoscience Watch ialah pihak yang sebelum ini mendedahkan aktiviti pelakon, Datuk Boy Iman, sehingga beliau akhirnya ditahan reman. Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang dakwaan dikenakan terhadap Boy.

Pada masa sama dua mahkamah majistret  - satu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan satu lagi di Kuantan, Pahang pernah menolak permohonan polis untuk menahan remah artis terbabit.

ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, 56, berkata ceramah di Unisel itu diadakan apabila dia mendapat jemputan melalui e-mel untuk menjayakannya.

Katanya, dia sama sekali tidak meminta institusi pengajian tinggi berkenaan menganjurkan ceramah berkenaan dan menjemput dirinya.

“Program itu diadakan untuk saya berkongsi pengalaman dan mereka menjemput saya untuk bercakap.

“Mereka hantar e-mel kepada saya ketika saya ada di luar negara dan saya menyatakan persetujuan untuk hadir,” katanya.

Ada di luar negara

Mengenai maklumat bahawa ND Lala mempergunakan maklumat dia menjadi jutawan MLM serta mendapat anugerah penajaan ketiga tertinggi melalui Uptrend, dia menjelaskan ia adalah berkaitan dengan hasil jualan produk dan bukan merujuk kepada jumlah anggota bawahan yang ditaja.

Meskipun berasa tidak selesa dijadikan polemik, ND Lala berkata dia sengaja tampil untuk membersihkan namanya selepas timbul isu yang membabitkan reputasinya.

“Jika hendak menipu, saya tidak akan meletakkan nombor syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan mendedahkan sifat perniagaan dijalankan untuk rujukan orang ramai.

“Dalam seminar itu, kami menjalankan khidmat latihan tenaga pengajar, moderator atau ahli motivasi. Ia program keusahawanan yang mempunyai lesen didaftarkan di bawah Kementerian Kewangan. Produk saya adalah ilmu keusahawanan, tidak ada jual produk fizikal,” katanya.

Terdahulu, Pseudoscience Watch mendakwa syarikat yang dikaitkan dengan ND Lala itu sudah tidak memiliki lesen syarikat jualan langsung kerana dibatalkan mengikut Akta Jualan Langsung dan Antiskim Piramid.

 

 

" SUDAH SUDAH la tu ... Hari-hari stress!!! Gaji Tak PERNAH 'cukup' . Hutang Tak PERNAH 'habis'. Apabila ada orang ajak tengok seminar - JAWAPAN standard : " Ahh aku tau dah .. benda2 macam ni semua menipu. Mesti skim cepat kaya. Mesti pelaburan haram.. " Hebat macamana pun kita - Tak kan lah semua perkara kita 'tahu'. Tak kan lah semua perkara kita 'pandai' . Bermula lah dengan bersangka baik. Datang lah dengan 'cawan yang kosong' " Program JIHAD EKONOMI ini... tidak menyuruh ANDA berhenti Kerja, berhenti berniaga Atau mengganggu pelajaran. 'Belajar lah cara terkini . Mudah difahami . Mudah dilaksanakan. Budak SEKOLAH pun boleh buat. 'Jom Belajar ' ' Kami ajarkan ilmu Usahawan & sediakan platform pendapatan ( PERNIAGAAN ). #malaysian #usahawan #usahawanmuda #usahawanonline #ndlalasukasuka #shilaamzah #syadaamzah #usahawanmelayu

A post shared by ndlala (@ndlala) on

 

Katanya, lesen itu dibatalkan kerana menjalankan ciri-ciri skim piramid berbanding MLM yang lebih kepada penjualan produk.

ND Lala berkata dia bukanlah individu yang layak untuk memberikan pandangan mengenai status Uptrend kerana bukan pemilik syarikat berkenaan.

“Syarikat terbabit adalah satu syarikat menjalankan perniagaan jaringan. Kalau ada pun (disaman atau didakwa) ia diluar pengetahuan saya.

“Saya tidak mahu keluarkan kenyataan mewakili syarikat MLM terbabit kerana tidak adil kepada mereka atau saya. Orang yang bertanggungjawab tidak mahu masyarakat tertipu pergilah tanya.

“Dalam pengetahuan saya tidak tahu ia dibatalkan disebabkan menjalankan skim piramid. Saya cuma difahamkan lesen tidak diperbaharui,” katanya.

Sementara itu, Malaysiakini menghubungi syarikat Uptrend berkenaan untuk mendapatkan komen.

Seorang kakitangannya yang dikenali sebagai Rina Hee memberitahu, orang yang bertanggungjawab untuk menjawab pertanyaan itu berada di luar negara ketika ini.

“Cukup untuk saya jelaskan syarikat ini masih menggunakan nama sama cuma sifat perniagaan sudah ditukar daripada MLM kepada perdagangan mulai 2012.

“Saya tidak dapat memberi penjelasan lanjut mengenai sebarang tindakan undang-undang atau lesen perniagaan yang pernah dibatalkan atau pun tidak akibat skim piramid,” katanya.