Derita Palestin melekat di hati Melly
Biarpun sudah beberapa hari pulang ke tanah air selepas menyertai misi kemanusiaan untuk membantu pelarian Palestin, ingatan di wilayah bergolak itu masih kuat tertanam di jiwa Melly Goeslaw.
Pencipta lagu Ketika Cinta Bertasbih itu menghabiskan masa beberapa hari menyertai misi kemanusiaan itu di kawasan perkhemahan pelarian Palestin di di wilayah Kilis di selatan Turki.
Melly turut berkongsi kisahnya yang berdepan pengalaman mencemaskan apabila hampir tidak dapat masuk ke perkampungan Palestin berkenaan.
“Jika mahu pergi ke Kilis harus melewati Konya dulu, disebabkan pesawat akan berlepas waktu malam kami bertolak dari Konya ke Ankara menggunakan kenderaan. Tetapi kami singgah sebentar di masjid Jalaluddin Rumi.
“Dari Ankara baru kami menaiki pesawat ke Kilis. Cabaran bermula di sana kerana pintu masuk dikawal ketat oleh tentera hingga hampir-hampir tak boleh masuk ke kawasan itu," katanya.
Bagaimanapun nasib menyebelahi rombongan Melly apabila mereka dibantu pertubuhan kebajikan Turki, Hayat Yolu, yang menjadi penaung kepada kempen kemanusiaan di wilayah berkenaan.
Saling tak kenal
Pemergian itu juga, cerita Melly, dibantu secara tidak langsung oleh Opick - atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus - kerana penyanyi lagu keagamaan terbabit dikenali salah seorang kakitangan Hayat Yolu.
“Akhirnya kami dibenarkan ke perkampungan di Kilis,” katanya.
Melly dan rombongannya berangkat dari Jakarta pada 17 Disember lalu sebagai anggota delegasi kemanusiaan Indonesia ke Turki.
Istanbul antara kerajaan yang banyak membantu pelarian perang sama ada dari Palestin atau Syria.

Lawatan berkenaan dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel walaupun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak di seluruh dunia.
Di khemah perlindingan itu Melly sempat memerhati beberapa perkara yang amat menyentuh hatinya.
Antaranya penyanyi Tak Tahan Lagi itu mendapati begitu ramai orang yang saling tidak mengenali antara satu sama lain terpaksa berkongsi tempat tinggal kerana peperangan.
Ibu bapa entah di mana
“Terdapat dua tempat perlindungan. Kem berkenaan kelihatan baik seperti rumah kayu tetapi diperbuat seolah daripada besi atau aluminium.
"Baguslah, bukan seperti kemah pengakap. Satu khemah boleh diisi enam orang, empat dewasa dan dua kanak-kanak.
“Mereka ini jelas tidak mengenali satu sama lain, anak itu juga bukan anak mereka. Situasi ini boleh menimbulkan ketidakselesaan,” katanya.
Menurut Melly lagi, warga Palestin yang tinggal di kem itu kebanyakannya adalah janda selepas suami masing-masing terbunuh semasa berjuang menentang tentera Zionis.
Selain berdepan keadaan sulit menjadi pelarian mereka juga menghadapi cuaca sejuk ekstrem.
“Kanak-kanak di situ tidak tahu di mana orang tua mereka kerana diselamatkan jiran tetangga.
"Ibu entah di mana, ayahnya pula mungkin tidak berjaya melarikan diri kerana perang," katanya.
Misi berkenaan bagaimanapun berjaya menyampaikan bekalan kemanusiaan yang dirasakan perlu buat pelarian Palestin terbabit.
Kata Melly antara bantuan yang diserahkan kepada pelarian Palestin itu ialah alat pemanas, selimut, jaket dan keperluan tidur selain sedikit wang.

