Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Penerbit filem harap Najib jadi penyelamat Coofie

Sebuah syarikat penerbitan filem berharap campur tangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh membantu mereka menyelesaikan masalah menghasilkan sebuah filem mengenai kepolisan, pemerdagangan manusia, ah long dan pembekalan senjata haram.

Menurut penerbit filem Ella Royantty Ruslan, Najib menjadi harapan syarikatnya untuk merealisasikan penghasilan filem Coofie selepas usaha mereka mendapatkan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) gagal.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ella Royantty berkata dia sangat terkilan dengan layanan Finas selain kecewa kerana keputusan diberikan membunuh harapan generasi muda seperti dirinya.

“Saya mahukan Datuk Seri Najib baca dokumen serta laporan yang kini telah sampai di pejabat datuk.

“Pada saya kalau orang nak memulakan langkah sebagai penerbit atau pengarah, Finas sepatutnya bagi bantuan.

“Yang penting dengan surat tawaran bantuan Finas itu orang seperti saya boleh memulakan kerjaya. Malangnya dari awal dia (Finas) macam dah bunuh kami,” katanya.

Bajet yang dipohon daripada Finas sebelum ini adalah RM2.7 juta.

Ella Royantty, 32, hadir di pejabat Malaysiakini atas kapasitinya sebagai penerbit filem Coofie yang sepatutnya dikeluarkan oleh Buffalo Orange Production Sdn Bhd (Buffalo Orange).

Ella Royantty adalah pengarah syarikat berkenaan.

Turut hadir, bapa Ella Royantty, Ruslan Adam, yang bertindak sebagai penerbit eksekutif Buffalo Orange.

Sementara itu menurut Ella Royantty, dia pernah bertemu Najib ketika berada di AS bagi menyuacarakan cadangannya untuk mengangkat filem tempatan ke pasaran antarabangsa.

Katanya, Najib pernah menyarankan dia untuk pulang dan berbakti kepada Malaysia.

Menjelaskan usahanya untuk mendapat sokongan Finas, Ella Royantty berkata dia pernah bertemu dengan panel penilai Pusat Pitching tetapi hasilnya mengecewakan walapun filem berkenaan sudah mendapat tempahan dari empat buah negara iaitu AS, UK, Thailand dan Jepun.

Ella Royantty serta Ruslan juga telah mengadakan mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Kem Komunikasi dan Multimedia pada 24 Ogos lalu dan daripada penjelasan diterima, mereka seakan-akan diberi harapan untuk berjaya.

Namun apabila tiada jawapan mengenainya diterima mereka sekali lagi kecewa. Justeru bagi Ruslan harapan yang ada buat Buffalo Orange sekarang cuma bantuan serta campur tangan Najib.

“Kami sangat berharap perdana menteri boleh mendengar apa yang berlaku pada kami dan sebaik saja mendapat kelulusan beliau, kami akan mulakan proses penggambaran filem Coofie yang tertangguh sejak Ogos tahun lalu.

“Sasaran kami ialah menayangkan Coofie di AS Korea Selatan, UK Jepun Thailand India dan Malaysia,” katanya.

Ilham untuk menghasilkan Coofie bermula dari kejayaan filem pendek diterbitkan Ella Royantty ketika dia masih menuntut di universiti berjudul Coofie & Sexy Dress yang diterbitkan pada 2015.

Filem pendek diarahkan Jaemin Park itu terpilih menerima lima penghargaan daripada festival filem antarabangsa.

Ella Royantty memiliki ijazah sarjana Seni Halus dalam Perfileman dan Televisyen dari Universiti Academy of Arts di San Francisco.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS