Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Hamba jemput tuan hamba 'bertalaqi' bersama bonda'
Diterbitkan:  Dec 28, 2017 4:09 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Pelakon Iqram Dinzli menolak pelawaan Datuk Dr Zulkifli Mohamad untuk bertemunya di Kuala Lumpur, sebaliknya mempelawa Mufti Wilayah Persekutuan itu berkunjung ke rumahnya di Ipoh, Perak.

Menurut pelakon itu, dia terpaksa menolak untuk berkunjung ke pejabat Zulkifli kerana tidak mahu berjauhan daripada ibunya.

“Buat Mufti Wilayah @drzulkifli.albakri yang hamba hormati, hamba mengucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi prihatin dengan apa yang terjadi.

“Maaf sekiranya hamba menolak untuk berjumpa dengan tuan hamba di #kualalumpur untuk berkomunikasi. Lebih afdalnya, hamba jemput tuan hamba sudi ke #TalaqqiDinzlyStudio untuk mengupas lebih mendalam segala yang terjadi bersama bonda di sisi dan fahami lebih situasi yang terjadi .

“Kerana hamba hormat keputusan bonda yang tidak mahu ke mana-mana selagi masih iddah dan beliau sedang usaha untuk bersemangat kerana terlalu rindu terhadap ayahanda hamba,” kata Iqram melalui Instagram miliknya.

Iqram ketika ini menetap di Ipoh, Perak bersama keluarganya.

Nama Iqram baru-baru ini mula menarik perhatian apabila aktor itu melakukan pelbagai aksi pelik di laman sosial.

Susulan itu, pelbagai pihak mula membuat andaian bahawa Iqram kemurungan serta mengalami tekanan perasaan terutama selepas bapanya allahyarham Saipuddin Ahmad Said meninggal dunia pada 10 Oktober lalu.

Ada juga pihak berpendapat Iqram beramal dengan ajaran sesat.

Bagaimanapun, terdapat segelintir  penggiat seni yakin Iqram masih seperti dahulu antaranya pengarah dan pelakon Erma Fatima.

Erma percaya apa yang dilakukan Iqram hanyalah satu persembahan untuk mengenali diri masing-masing. 

"Aku tak percaya! Biar apa pun kata mereka aku tetap tak percaya. Di mana jua kau berada dik, akak percaya kau tahu apa yang sedang kau lakukan," kata Erma.

Iqram pernah muncul dalam filem seperti 1957: Hati Malaya (2007) dan Evolusi KL Drift (2008) serta Apokalips X (2011) selain pernah menjadi hos program Jalan-jalan Cari Makan pada 2012.

Semalam menerusi Facebook, Zulkifli menjemput Iqram bersemuka di pejabatnya bagi membolehkan mereka mengenali antara satu sama lain.

"Mungkin ada sisi-sisi tertentu yang boleh kami usahakan bantuan dan sokongan," kata Zulkifli.

Lihat Komen
ADS