Kerana tuduhan melulu, Diana Danielle 'basuh' netizen
Berpunca daripada netizen yang bersikap melulu dan gemar membuat andaian, Diana Danielle memberi respon ‘pedas’ selepas tindakannya bergambar dalam kenderaan dinaiki didakwa boleh membahayakan keselamatan dirinya sekeluarga.
Selain Diana, turut bersama-samanya di dalam kenderaan itu adalah suami, Datuk Farid Kamil dan dua lagi anak mereka Ahmad dan Aurora.
Menerusi dua gambar yang dikongsikan aktres berkenaan, Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia ke-26 itu dilihat sedang memangku Aurora ketika duduk di bahagian penumpang hadapan manakala Ahmad berada di bahagian belakang.
Bersama-sama gambar itu, Diana, 26, menyatakan mereka sekeluarga baru saja selesai mandi di sungai yang terletak di Perak.
“Lepas habis mandi sungai dengan cinonets dan baby besar FK (Farid Kamil). Seronok anak-anak alami pengalaman air sungai sejuk beku,” katanya.
Disebabkan gambar di Instagram itu, Diana dikecam netizen kerana didakwa berswafoto ketika kenderaan mereka bergerak.
Bagaimanapun, ibarat hilang sabar, pelakon filem Hanyut itu terus menjawab: "Kereta kami tak bergerak pun bodoh" menerusi instagram.

