Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lupakan ketagihan dadah, Radhi mahu ketagih muzik

Sebagai seorang pendosa yang bertaubat, Radhi berazam mahu melupakan waktu silamnya dan kini berbakti sepenuhnya melalui kumplan OAG.

Bagi Radhi, OAG memang bukan kumpulan muzik biasa-biasa. Justeru dia menaruh harapan menggunung pada kumpulan yang ditubuhkan ketika dia baru berusia 15 tahun dulu.

Malah Radhi adalah insan yang paling bersyukur apabila OAG menyambut ulang tahun ke-25 baru-baru ini.

Sambutan itu kata Radhi adalah titik mula untuk dia benar-benar bebas daripada dadah buat selama-lamanya.

“Saya berjuang tanpa henti sepanjang 25 tahun ini. Walaupun ia tempoh yang lama, bagi saya, ia macam 20 minit 25 saat saja.

"Alhamdulillah 25 tahun ini saya anggap sebagai permulaan kepada hidup baru," katanya.

Di sebalik sikap optimis itu Radhi bagaimanapun mengakui dia masih dalam proses pemulihan dan bertekad enggan menjadi penagih selepas berusia 40 tahun.

“Muzik antara satu perkara yang boleh menghilangkan tekanan, justeru kita tidak perlu mengambil dadah,” kata pemilik nama penuh Mohd Radhi Razali itu.

Penyanyi yang pernah mempopularkan lagu seperti 60’s TV, Slumber, Name Of The Game dan Generasiku itu berkata pengakuan berkenaan bukan bertujuan sengaja ingin mengaibkan diri sendiri.

Sebaliknya kata Radhi dia berhasrat dapat dijadikan contoh kepada generasi muda.

Ingatan buat peminat

“Memang kena ada keyakinan diri untuk terus berjuang dan jangan sesekali berputus asa walaupun sebelum ini sekejap masuk sekejap keluar (pusat pemulihan).

“Ini adalah satu proses pemulihan yang saya kongsikan dengan peminat. Dulu memang susah nak beritahu,” katanya.

Selain nekad untuk bebas daripada belengu dadah, Radhi juga memaklumkan mengenai rancangannya untuk mengetengahkan OAG supaya kembali mewarnai dunia muzik pada 2018.

“OAG bercadang mengadakan konsert jelajah tetapi masih di peringkat perbincangan, dan tertakluk kepada lokasi serta persediaan yang bersesuaian,” katanya.

Bagi Radhi, selagi ada permintaan, selagi itulah juga dia tidak akan bersara daripada OAG yang turut dianggotai oleh Lam (bass), Ivan (gitar) dan Qi (dram) itu.

“Masih ada peminat yang setia sanggup datang dengan kaset dan CD demo yang pernah dikeluarkan sewaktu kali pertama dulu (semasa showcase ulang tahun ke-25). Saya ingat sudah tak ada orang simpan lagi.

“Tanpa diketahui ramai, kami masih lagi bermain gig di universiti dan kolej kolej, mereka ini adalah akar umbi kepada perkembangan industri kita, kerana anak muda masih bersemangat dengar muzik.

"Baru saja dua minggu lepas kami buat persembahan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang,” katanya.

Pada malam persembahan ulang tahun itu berlangsung, OAG turut melancarkan buah tangan terbaru kumpulan berkenaan sebagai mengubat rindu peminat.

Ia adalah single berjudul Snowball dalam bentuk kaset bagi edisi khas yang dikeluarkan dengan jumlah sebanyak 100 unit saja.

Lihat Komen
ADS