Hubungan Sufian, Elfira dilanda masalah?
Penyanyi Sufian Suhaimi menafikan hubungan dengan tunangnya, Elfira Loy menghadapi masalah ekoran kedua-dua artis itu tidak lagi saling mengikuti laman Instagram masing-masing.
Sebaliknya Sufian berkata dia dan Elfira menghadapi masalah teknikal untuk saling mengikuti semula akaun Instagram.
"Saya sendiri tidak tahu macam mana saya dan Elfira tidak mengikuti laman Instagram masing-masing. Secara tiba-tiba saya tengok dah tak follow.
"Dah banyak kali kami cuba untuk ikuti semula namun tidak berjaya. Saya tak tahu macam mana mereka atau Instagram boleh buat macam itu," kata Sufian ketika dihubungi mStar Online.
Sufian dan Elfira bertunang pada Oktober lalu dan masih belum menetapkan tarikh perkahwinan mereka.
Sufian diminta mengulas mengenai khabar mengatakan dia dan pelakon wanita itu dilihat saling tidak lagi mengikuti laman Instagram masing-masing.
Menurut Sufian, mereka tidak mempunyai sebarang masalah hubungan dan masih berhubung menerusi telefon.
Bagaimanapun, Sufian tidak menafikan mereka ada melalui ujian pertunangan yang berpunca daripada orang sekeliling.
"Memang saya akui kami ada lalui ujian pertunangan seperti orang lain. Tapi ia bukan berpunca daripada saya atau Elfira.
"Tapi daripada orang di sekeliling kami sendiri. Saya harap semua doa yang baik-baik buat kami berdua," ujarnya.

