Weh, aku dah jadi daddy!
Pelakon dan usahawan Fizo Omar, 32 mengakui mengalirkan air mata saat menyaksikan isterinya, Mawar Abdul Karim melahirkan cahaya mata sulung mereka.
Berkongsi pengalaman itu di Instagram, Fizo berkata dia bersyukur kerana akhirnya dianugerah zuriat selepas empat tahun menunggu kehadiran buah hati barunya itu.
Fizo turut menceritakan pengalaman menemani Mawar bertarung nyawa ketika proses pembedahan.
"Syukur Alhamdulillah aku diizinkan oleh-Nya untuk merasai nikmat mempunyai zuriat walaupun mengharungi satu tempoh yang agak lama serta pelbagai cabaran untuk Mawar nak hamil dulu.
"Aku juga diberi peluang untuk masuk ke dalam bilik pembedahan mengharungi setiap saat, getir Mawar bertarung nyawa untuk melahirkan baby pertama kami," kata Fizo di Instagram.
Mawar, 28, yang juga pengasas tudung Fareeda melahirkan bayi perempuan seberat 2.78 kilogram di Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, kira-kira pukul 4.01 petang Jumaat.
Bayi berkenaan dilahirkan secara pembedahan oleh pakar sakit puan terkenal, Dr Hamid Arshad.
Menurut Fizo, dia melalui pengalaman yang luar biasa ketika menyaksikan proses kelahiran itu berlangsung.
"Percikan darah dan air ketuban yang aku tengok tu macam tak percaya yang aku boleh masih lagi berdiri dan terus melihat 'magic moment' itu," tulisnya.
Fizo berkata, kali pertama dia bertentang mata dengan bayi perempuannya itu, air matanya mengalir.
"Yalah mana taknya, bukan sahaja empat tahun aku menunggu malah sejak dari bujang lagi aku memang tak sabar nak ada anak sendiri kerana mempunyai cahaya mata adalah salah satu impian utama dalam hidup aku.
"Masa aku tengok Dr Hamid menarik kepala anak aku keluar, tiba-tiba air mata aku mengalir dengan sendiri dan aku tak terkata apa terpaku kat situ.
"Subhanallah aku macam tak percaya, Weh! Aku dah jadi Daddy! Itulah yang bermain di kepala aku," ujarnya.

