Paling Popular
Terkini

Berhati-hati dengan wanita "Puan F" yang dikatakan menjaja pakej pelancongan ke luar negara dengan tawaran yang menggiurkan.

Selain orang awam, beberapa selebriti juga mengaku pernah menjadi mangsa individu terbabit yang hanya dinamakan sebagai "F".

Menariknya suspek terbabit yang mendakwa mempunyai tiga orang anak menggunakan "lakon layar" yang sama untuk menipu mangsanya.

Menurut pelakon Den Wahab, wanita terbabit menggunakan helah dengan bercerita kisah hidupnya yang menyedihkan untuk mendapat kepercayaan mangsa.

"Wanita itu memang licik, antaranya dia menggunakan kata-kata manis dan menjual nama artis lain hingga mangsa mudah terpedaya.

"Dia juga menjanjikan pakej melancong yang amat murah," katanya kepada media di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya sebentar tadi.

Laporan polis itu dibuat oleh isteri pengarah Aziz M Osman, Lily Lokman yang mewakili lebih 10 individu lain yang mendakwa pernah menjadi mangsa Puan F.

Difahamkan, biasanya Puan F itu akan berurusan dengan sesebuah syarikat pelancongan dengan menunjukkan bukti bayaran kepada mereka melalui pindahan wang atas talian.

Bagaimanapun, selepas syarikat terbabit menerima maklumat itu dia akan segera membatalkan transaksi berkenaan.

Sementara itu, Aziz berkata dia melihat isterinya muram dua hari sebelum mereka berangkat ke Seoul, Korea Selatan.

Apabila ditanya, kata Aziz (gambar), Lily menjawab perjalanan mereka itu bermasalah kerana kos tiket yang ditempah itu belum dibayar kepada syarikat yang menguruskan lawatan mereka.

"Pada ketika itu, kami hanya menganggap ini semua hanya kesilapan teknikal lalu menggunakan duit sendiri untuk sampai ke sana dengan harapan puan F itu akan membayar semula wang kami," katanya yang turut hadir membuat laporan di balai polis sama.

Sebelum ini kisah penipuan itu sudah didedahkan oleh beberapa media selepas mereka terkandas di ibu negara Korea Selatan itu.

Penipuan itu terbongkar apabila agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan itu Arba Travel & Tours Sdn Bhd (Arba Travel) memaklumkan tiada bayaran diterima seperti sepatutnya.

Bagaimanapun, atas budi bicara syarikat itu meneruskan lawatan berkenaan lawatan berkenaan hingga tamat walaupun tiada bayaran diterima.

Rombongan terbabit berada di Seoul selama lima hari mulai 24 Dis tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Operasi Arba Travel, Ammar Shahrin (gambar) berkata Puan F itu memang terkenal dengan sindiket penipuan tetapi tidak diketahui isteri Aziz.

Pada masa sama, katanya, Puan F 'menjual' nama Aziz kononnya dia adalah pembantu kepada pengarah terbabit.

Selepas penipuan itu dihidu Ammar (gambar) berkata dia berhubung dengan Puan F dan wanita terbabit mengaku menipu namun kemudian cuba meraih simpati dengan mendakwa dia pernah ditipu syarikat lain dan sedang menanggung kerugian.

"Arba Travel sedia maklum taktik Puan F yang akan berdolak-dalik dan menukar-nukar cerita. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk memberitahu Lily mengenai perkara tersebut.

"Pada ketika itu, Aziz dan Den belum mengetahui mereka belum ditipu," katanya.

Menurut Ammar, Puan F itu ada menghubungi mereka dan Lily sambil menjanjikan bayaran akan dibuat tetapi dia percaya janji tersebut sekadar untuk memutar belitkan cerita.

"Kami berharap dengan laporan polis ini, wanita terbabit dapat dibawa ke muka pengadilan dan dihukum dengan sewajarnya.

"Kami juga berharap semua wang mangsa dapat dipulangkan," katanya.

Sementara itu Den berkata dia menganggarkan kerugian dialami mereka akibat penipuan Puan F berkenaan ialah sebanyak RM100,000.

Katanya rombongan melancong itu disertai 22 orang.

Di Seoul, kata Den, mereka juga secara kebetulan terjumpa dengan satu kumpulan dari Malaysia yang rupa-rupanya turut ditipu Puan F.

"Kami saja ada 22 orang, di sana kami jumpa mangsa lain dan ada antara mereka menyertai kami dalam lawatan ke Pulau Nami atas pertimbangan budi bicara," katanya.

Lihat Komen
ADS