Menteri pun berdarah seni
Selain bidang politik dan pentadbiran, sejumlah menteri Indonesia nampaknya turut berbakat dalam bidang muzik.
Malah, mereka siap menubuhkan kugiran dengan nama Elek Yo Band.
Elek Yo Band dibarisi Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Basuki Hadimuljono (dram), Ketua badan Ekonomi Kreatif Triawan Munaf (papan nada), manakala Menteri Tenaga Kerja Hanif Dhakiri dan Menteri Perhubungan Budi Karya Sumadi pula bermain gitar akustik.
Peranan vokal pula digalas tiga menteri, iaitu Menteri Luar Negeri Retno Marsudi, Menteri Kewangan Sri Mulyani dan Ketua Staf Kepresidenan Teten Masduki.

Ketika merasmikan mesyuarat dwitahunan di Istana Negara, Jakarta semalam, Presiden Joko Widodo turut berbicara mengenai band tersebut.
"Saya hargai penubuhan kumpulan muzik Elek Yo Band, buruk ya biar (tak mengapa)," kata Jokowi, mengundang ketawa menteri dan ketua agensi kerajaan yang hadir.
'Elek' adalah perkataan daripada dialek Jawa yang bermaksud 'jelek'.

Walaupun 'jelek', kugiran tersebut diberi tanggungjawab mengadakan persembahan ketika majlis resepsi anak Setiausaha Negara, Pratikno, di Yogyakarta, Sabtu lalu, yang turut dihadiri Jokowi.
Ketika itu, mereka mempersembahkan lagu bertajuk Bento nyanyian asal penyanyi terkenal republik itu, Iwan Fals.
“Saya kira itu juga menunjukkan bahawa kita memiliki sikap sentiasa bersatu-padu dalam bekerja,” kata Jokowi.

