Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dolores dari The Cranberries mati mengejut
Diterbitkan:  Jan 16, 2018 8:42 AM
Dikemaskini: Jan 19, 2018 12:03 PM

Vokalis kumpulan dari Ireland yang pernah menghiburkan jutaan orang dengan lagu seperti Zombie, Linger, Ode to My Family dan Just My Imagination disahkan mati awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Kematian mengejut Dolores O’Riordan diumumkan pegawai seranta kumpulan The Cranberries melalui kenyataan awam, kira-kira jam 1 pagi tadi.

“Vokalis antarabangsa dan berbangsa Ireland meninggal secara mengejut di London hari ini. Dia berusia 46 tahun.

“Dia ketika itu sedang bersama kumpulannya The Cranberries di London bagi menjalani sebuah sesi rakaman pendek.

“Tiada kenyataan lanjut ketika ini. Keluarganya amat berdukacita mengenai khabar berkenaan dan meminta diberi ruang untuk berdepan saat sukar seperti ini,” kata kenyataan itu.

Punca kematian masih tidak dapat dijelaskan pada peringkat ini, menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, tiga lagi anggota The Cranberries - Noel Hogan (gitaris), Mike Hogan (basis) dan Fergal Lawler (dram) - turut berkongsi perasaan dan memberi tanda penghormatan mereka di media sosial.

“Kami amat berdukacita di atas kehilangan rakan kami Dolores. Dia mempunyai bakat yang begitu luar biasa dan kami berasa amat bertuah dapat menjadi sebahagian daripada hidupnya bermula dari 1989 apabila kami menubuhkan The Cranberries.

“Dunia telah kehilangan artis sejati hari ini,” kata mereka menggunakan akaun rasmi The Cranberries di Twitter.

 

 

The Cranberries mencapai kemuncak di peringkat antarabangsa dengan album sulung yang diterbitkan pada 1993 berjudul Everybody Else is Doing It, So Why Can’t We?

Mereka menempa kejayaan seterusnya menerusi album kedua No Need To Argue (1994) yang turut memuatkan lagi paling popular mereka, Zombie.

Selain Linger (1993) dan Zombie (1994), Salvation (1996), Dreams (1993) dan Free to Decide (1996) adalah lagu yang berjaya menduduki carta tertinggi Billboard.

Sepanjang zaman kegemilangan The Cranberries, jualan album mereka mencecah jualan lebih 40 juta unit di seluruh dunia.

Pada 2017, The Cranberries mengumumkan bakal mengadakan konsert jelajah termasuk di Eropah, UK dan AS.

'Saya rasa sihat'

Bagaimanapun, pada Mei lalu - sejurus selepas jelajah Eropah bermula - kumpulan berkenaan terpaksa membatalkan baki konsert yang belum dijayakan akibat masalah kesihatan Dolores yang semakin merudum.

Laman sesawang rasmi The Cranberries pada masa itu mengeluarkan kenyataan “faktor perubatan berkaitan masalah sakit belakang” menjadi punca menghalang Dolores untuk meneruskan persembahannya.

Namun, terdahulu, sebelum perayaan Krismas, Dolores pernah memuat naik status mengenai tahap kesihatannya di Facebook dengan berkata: “Saya berasa sihat.”

Dolores turut memaklumkan sudah mengadakan “gig pertama selepas berbulan-bulan”. Hal itu menyebabkan peminat mempercayai dia akan kembali beraksi semula.

Dolores berpisah daripada suaminya selepas berkahwin selama 20 tahun. Sepanjang hidup bersama, dia dan Don Burton - iaitu bekas pengurus konsert jelajah bagi kumpulan Duran Duran - dikurniakan tiga cahaya mata.

Penyanyi itu juga pernah ditahan kerana mengakibatkan insiden tegang di atas pesawat pada 2014 tetapi dilepaskan tanda dikenakan tuduhan.

Dalam kejadian itu, seorang pramugari dilaporkan diserang dalam sebuah penerbangan dari New York ke Shannon, County Clare di Ireland.

Dolores kemudian dibawa ke hospital di Limerik selepas disoal siasat polis dan kemudian dibebaskan.

Dua tahun kemudian Dolores diperintah membayar £5,300 (RM28,860) kepada badan amal selepas mencederakan seorang pegawai polis dalam insiden dalam pesawat terbabit.

Dolores kemudian disahkan mengidap masalah bipolar pada 2015 dan ia menjelaskan mengapa berada dalam keadaan “kemurungan” di dalam pesawat terbabit.

Presiden, PM turut sedih

Dalam satu wawancara pada 2013 pula, Dolores mendedahkan pernah didera ketika masih kanak-kanak, hal itu menjurus kepada masalah pemakanan dan akhirnya hilang upaya untuk berfungsi secara baik.

Keluarga terutama tiga orang anaknya bagi Dolores adalah penyelamat dalam segala hal - seperti judul lagu Salvation yang dikeluarkan The Cranberries pada 2008.

Dolores, anak paling muda daripada tujuh beradik itu mula mencipta lagu sendiri sejak berusia 12 tahun.

Dia menyertai band berkenaan ketika masih remaja selepas melihat sebuah iklan yang memerlukan seorang vokalis wanita untuk band The Cranberry Saw Us.

Nama kumpulan itu kemudian ditukar kepada The Cranberries.

Dolores bergerak secara solo selepas band berkenaan 'bercuti' pada 2003 tetapi kembali menjadi vokalis apabila kumpulan berkenaan bersatu semula pada 2009.

Sementara itu, Presiden Ireland Michael D Higgins menyifatkan kematian Dolores sebagai satu kehilangan besar kerana wanita itu dan The Cranberries mempunyai pengaruh besar ke atas muzik rock dan pop di Ireland dan antarabangsa.

Lihat Komen
ADS