Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas dibebaskan daripada tahanan polis tindakan terbaik buat Datuk Farid Kamil ialah mempertemukan dia dengan anak-anaknya.

Namun kata adik Farid, Fadzil Bahari Zahari, pertemuan itu dirancang diadakan di lokasi yang lebih bersesuaian seperti pusat perubatan yang akan merawat kesihatan aktor terbabit.

Ini kerana kata Fadzil (gambar), tahap kesihatan Farid sekarang menjadi keutamaan dalam usaha membantu proses baik pulih dirinya.

"Saya dan keluarga sedang mengatur pertemuan untuk membawa Farid bersemuka dengan anal-anaknya selepas ini.

"Namun belum dapat dipastikan sama ada saya mahupun Diana Danielle sendiri yang akan membawa anak-anak itu ke sana nanti.

"Bagaimanapun, apa yang pasti kami bersedia menemukan anak-anaknya jika keadaan kesihatan dia mengizinkan," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Farid, 37, yang berkahwin dengan aktres Diana, 27, pada 3 Nov 2012 dikurniakan dua anak iaitu Mohammad, dan Nur Aurora, 3.

Farid akan dibawa menjalani rawatan kesihatan bagi menentukan tahap kesihatan dan emosi yang dialami selepas ditahan reman serta didakwa di mahkamah.

Kata Fadzil setakat ini masih belum dapat dipastikan kaedah rawatan yang akan diambil, iaitu sama ada moden atau tradisional.

"Selepas diperiksa dan berpuas hati dengan tahap kesihatannya barulah kami akan membawa Farid pulang ke rumah orang tua kami di Kedah," katanya.

Farid hari ini dibebaskan dengan wang ikat jamin RM12,000 selepas berdepan empat pertuduhan jenayah di mahkamah sama iaitu menyebabkan kecederaan, menggunakan kekerasan jenayah, berkelakuan tidak senonoh dan mengeluarkan perkataan tidak sopan.

Farid bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 5 Mac depan.

Lihat Komen
ADS