Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Che Ta tak menjerit, Hazami terpesona
Diterbitkan:  Jan 22, 2018 7:01 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Bakal bergelar penyanyi - pelakon Rozita Che Wan mengakui dia berasa gementar biarpun pada masa teruja dengan bidang baru yang akan diceburinya itu.

Namun, Rozita atau yang lebih mesra disapa Che Ta itu benar-benar berazam dan serius untuk mencuba sesuatu yang berbeza daripada perkara biasa dibuatnya sebelum ini.

Untuk merealisasikan impian sebagai penyanyi, Che Ta bekerjasama dengan seorang lagi penyanyi yang juga komposer lagu, Hazami.

Kata ibu kepada anak dua itu, lagu Hazami seperti Takdir (dendangan Dayang Nurfaizah) yang dijadikan lagu tema drama Syurga Yang Kedua amat menarik perhatiannya.

“Dalam soal nyanyian ini, saya memang serius, apatah lagi Hazami juga beriya-iya mahu saya menyanyikan lagu ciptaannya.

“Sebelum ini, saya pernah didekati penggiat seni lain seperti Eddie Hamid dan Imran Ajmain yang menawarkan peluang serupa.

“Namun, mungkin ketika itu saya belum bersedia. Waktu itu pun, Imran mencari pelakon sebagai rakan duet dan bukannya penyanyi," katanya seperti dilapor BH Online.

Tunggu giliran dulu

Menyedari bukan senang untuk membeli jiwa peminat dengan vokal dimilikinya, isteri kepada pelakon Zain Saidin itu mengaku sudah bersiap-sedia dengan segala kemungkinan.

Che Ta yang juga usahawan itu memberitahu, dia sudah menyiapkan dirinya jika terpaksa berdepan kritikan orang ramai.

Ditanya mengenai genre yang bakal dipilih untuk didendangkan, Che Ta menjawab dia tidak mempunyai pilihan tertentu.

"Saya pun tak pernah terfikir nak jadi penyanyi selama ini. Jadi, mungkin lagu balada atau irama Malaysia sesuai dengan saya," katanya yang mengaku bersedia untuk dikritik apabila mencuba nasib sebagai penyanyi.

Bagaimanapun, Che Ta, 44, masih perlu menunggu giliran sebelum mendapat peluang untuk menyanyikan lagu dari Hazami.

Kerana ketika ini, Hazami sedang menyiapkan lagu untuk nama-nama besar lain seperti Aishah dan Azharina.

"Mungkin giliran saya akan tiba selepas Hazami menyiapkan lagu untuk Aishah," katanya.

Sementara itu, Hazami memberitahu dia berharap dapat segera menunaikan permintaan Che Ta.

Kata Hazami, sebelum ini pelakon jelita berkenaan pernah memintanya menghasilkan lagu untuk beberapa produk perniagaan yang diusahakannya.

Namun, projek itu tergendala apabila Hazami memasuki program Gegar Vaganza musim keempat.

"Pada pertemuan baru-baru ini, perkara itu dibincangkan semula dan nampaknya, Che Ta bersungguh-sungguh untuk menggunakan khidmat saya. Dari situ juga, saya cuba memancingnya untuk menyanyi pula.

"Sebenarnya, teman saya yang juga pekerja Che Ta pernah merakamkan video dia menyanyi lagu tradisional secara rahsia.

“Saya dapati, dia mempunyai alunan suara yang baik dan bukan jenis yang menjerit. Jadi, mungkin saya akan menghasilkan lagu berentak irama Malaysia dengan sentuhan moden untuknya. Mungkin juga kita boleh ajak suaminya, Zain, untuk menyanyi rap dalam lagu berkenaan.

"Saya harap, Che Ta dapat tunggu dulu hingga saya selesaikan kerja bersama Azharina dan Aishah," katanya.

Lihat Komen
ADS