Pendapatan Syeriv disimpan untuk masa depan
Pelakon Syatilla Melvin menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa dia menggunakan anaknya Syeriv Samheizy untuk keuntungan peribadi.
Isteri kepada aktor Shaheizy Sam itu berkata, sebaliknya dia sebenarnya menumpang rezeki Syeriv.
Malah katanya semua pendapatan yang diraih Syeriv disimpan untuk masa depan anak mereka yang dilahirkan pada 9 Mei lalu.
“Saya memang mengambil peluang ini untuk menyimpan wang untuk Syeriv. Lagipun kita tidak tahu ekonomi kami pada masa hadapan macam mana.
“Malah sebenarnya saya dan Sam yang menumpang rezeki Syeriv. Memang banyak. Tapi semuanya untuk masa depan Syeriv sendiri,” katanya seperti dilapor Utusan Online.
Dalam pada itu mengulas mengenai klip video yang menunjukkan dia menggoncang anak lelakinya itu, Syatilla berkata dia menerima teguran daripada orang ramai.
Menurut Syatilla atau nama penuhnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 26, dia menganggap teguran itu dibuat demi kebaikan dan tidak akan dipandang remeh.
“Apabila orang tegur dan kritik, saya sedar ramai rupa-rupanya orang yang sayang Syeriv. Terima kasih banyak-banyak.
“Tak goncang kuat pun sebenarnya. Syeriv juga gelak cuma saya tak muat naik bahagian itu,” katanya lagi.
Terdahulu, isteri kepada aktor Shaheizy Sam itu mengundang perbalahan antara netizen apabila ada di antara mereka yang kurang bersetuju dengan cara dia menggoncang tangan anaknya melalui perkongsian dalam sebuah klip video di akaun Instagram anaknya.

