Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Iqram Dinzly seronok ditemani Che Mat, Che Jah
Diterbitkan:  Jan 23, 2018 4:57 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Hasil pertemuan dengan Mufti Wilayah Persekutuan beberapa hari lalu, Iqram Dinzly kini berteman dua ekor arnab yang dijadikan hadiah dan kawannya.

Perkembangan terbaru itu dikongsikan aktor berkenaan di akaun Instagramnya.

Untuk menjadikan arnab terbabit dirasakan berada dekat dengannya Iqram memilih Ahmad dan Rajemah sebagai nama haiwan peliharaan berkenaan.

Kata Iqram, nama itu dipilih bersempena nama arwah datuk dan nenek di sebelah bapanya.

“Hamba perkenalkan hadiah pemberian ikhlas dari #ayahanda hamba iaitu @drzulkifli.albakri.

“#Chemat [ #Ahmad ] & #CheJah [ Rajemah ] disisi,” kata pemilik nama penuh Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin itu di Instagram.

Dalam pertemuan yang diadakan pada 20 Jan lalu, Datuk Dr Zulkifli Mohamad turut menghadiahkan beberapa barangan lain seperti buku, jubah dan kopiah.

Harapan mufti terbabit, barangan berkenaan dapat membuat Iqram terus istiqamah dan bersemangat untuk beribadah.

Mufti pun bela haiwan

Menurut Zulkifli, kunjungan serta perkenalan dengan Iqram itu bertujuan merungkai kemelut kehidupan yang sedang dihadapi pelakon itu.

Iqram, 36, tidak hadir berseorangan pada ketika itu, sebaliknya dia ditemani rakan yang juga seorang pelakon, Johan Asaari.

Terdahulu, iaitu pada 27 Disember tahun lalu, Iqram menerima jemputan terbuka daripada Zulkifli selepas beberapa aksi dan klip video mengenai pelakon Dunia Baru itu menjadi tular di media sosial.

Sementara itu, menurut Harian Metro, Iqram mempunyai sebab dirasakan terbaik untuk menamakan kedua-dua arnabnya sebagai Che Mat dan Che Jah.

“Baru semalam saya berikan nama arnab ini. Saya memang sukakan nama kampung, jadi saya pilih nama ini. Macam monyet saya dulu, saya namakan Ahdam.

“Ini kali pertama saya memelihara arnab. Sebelum ini saya pernah ada ayam, itik dan burung. Masuk dua hari bersama arnab ini, saya berasa sangat seronok," katanya.

Iqram menambah memelihara haiwan boleh menjadi terapi buat seseorang.

Malah, katanya, ia juga tidak menyusahkan.

"Macam mufti pun, dia turut membela arnab, kucing dan ayam,” katanya.

Lihat Komen
ADS