Rachel Morrison catat sejarah di Oscar
Rachel Morrison menjadi wanita pertama dicalonkan untuk kategori sinematografi terbaik dalam majlis Anugerah Oscar yang bakal berlangsung 4 Mac ini.
Rachel diiktiraf untuk dinilai atas kerjanya sebagai pengarah fotografi untuk drama Mudbound arahan Dee Rees.
Filem itu mengisahkan hubungan keluarga kulit hitam dan putih di Mississippi pada era pada abad ke-19.
Pencalonan berkenaan adalah detik kedua terbesar buat Rachel pada bulan ini selepas mencatat sejarah sebagai wanita pertama dicalonkan untuk Anugerah American Society of Cinematographers bagi pencapaian cemerlang pementasan teater pada 8 Jan lalu.
Sebenarya nama Rachel memang bukanlah kecil. Sebelum ini pun dia pernah memenangi hadiah sinematografi terbaik. Ia diberikan melalui Anugerah Kritikan Filem New York pada Disember tahun lalu.
Untuk Oscar, Rachel akan bersaing dengan jurugambar sinematik Britain, Roger Deakins, yang menerima pencalonan ke-14 untuk kerjanya dalam Blade Runner 2049.
Bagaimanapun, Deakings tidak pernah memenangi hadiah tersebut.
Selain itu, Rachel turut dicabar Bruno Delbonnel (Darkest Hour), Hoyte van Hoytema (Dunkirk) dan Dan Laustsen (The Shape of Water).
Lelaki lebih peluang
Rachel adalah graduan Universiti New York yang berkecimpung dalam industri perfileman sejak awal 2000.
Dalam satu wawancara dengan Los Angeles Times pada Disember lalu, Rachel mendedahkan pernah menerima tawaran terawal bagi mengendalikan rancangan realiti MTV, The Hills, semata-mata untuk membayar pinjaman pendidikannya.
Kebelakangan ini, Rachel berkolaborasi dengan pengarah Ryan Coogler untuk filem berjudul Fruitvale Station dan francais Marvel, Black Panther yang akan ditayangkan pada 16 Feb.
Di sebalik kempen keserataan jantina di Hollywood, kajian pada 2016 menunjukkan hanya 5 peratus sinematografer - juga dikenali sebagai pengarah fotografi - di situ adalah wanita.
Dalam sesi temuramah sama dengan Times, Rachell berkata dia menyedari lelaki mendapat lebih banyak peluang untuk bekerja dalam projek studio sederhana atau besar berbanding wanita.
Bagi Rachel pula, sebelum dapat menempa nama yang kukuh, dia terpaksa bekerja untuk 10 filem bajet rendah sebelum pintu untuk produksi bajet besar terbuka untuknya.
Tak mahu diupah kerana wanita
Bagaimanapun, keadaan itu menampakkan perubahan terutama selepas gerakan #TimesUp yang membantah isu ketidakadilan gender di Hollywood baru-baru ini.
“Fokus saya adalah untuk menghasilkan kerja yang hebat. Saya tidak mahu diupah untuk sesebuah kerja kerana saya adalah seorang wanita. Dan saya tidak mahu dikenali untuk sesebuah kerja itu kerana saya wanita," katanya.
Mengenai perubahan sikap di Hollywood sekarang, Rachel berkata dia dapat merasainya dan bersikap optimis.
“Saya tidak fikir generasi wanita selepas saya memerlukan pengalaman 10 tahun sebagai pengarah fotografi untuk mendapatkan peluang mempamerkan kemampuan dalam filem besar.
"Pintu terbuka luas untuk wanita sejak awal dan ini adalah masa untuk kita melaluinya,” katanya.

