Pelakon dan pelawak Jihan Muse kini bergelar seorang ibu selepas selamat melahirkan anak lelaki di DEMS Specialist Hospital Shah Alam kira-kira 10.15 malam tadi.

Jihan dan anak sulungnya itu yang seberat 3.85 kilogram berada dalam keadaan sihat selepas melalui proses kelahiran secara pembedahan.

“25 Januari dengan izin yang maha Esa, kami dari Laugh Out Loud Entertainment mewakili @jihanmuse dan @ungkuhariz, ingin memaklumkan bahawa Jihan telah selamat melahirkan seorang putera sulung mereka seberat 3.85kg pada jam 10.15pm sebentar tadi.

“Ia dilakukan secara pembedahan oleh Dr Norleen di DEMC Specialist Hospital Shah Alam,” menurut satu kenyataan disiarkan akaun Instagram Meletop.

Dengan kelahiran cahaya mata itu, Jihan turut memaklumkan akan berehat selama dua bulan daripada melakukan tugas-tugas biasa dilakukannya dalam industri demi memberi tumpuan kepada keluarga mereka

Ungku Hariz Faizal turut bersyukur kerana peminat tidak pernah berhenti mendoakan kesihatan dan memberi sokongan kepada mereka sekeluarga.

Jihan dan Ungku Hariz, berkahwin bulan Mac tahun lalu dalam sebuah majlis sederhana yang diadakan di Laman Kayangan, Shah Alam.