Anji belajar bahasa isyarat untuk hiburkan orang pekak
Tidak ada sebab mengapa orang pekak tidak dapat dihiburkan dengan muzik.
Justeru bagi penyanyi Indonesia, Anji, misinya kini ialah mempelajari bahasa isyarat supaya lagunya turut dapat dinikmati golongan berkenaan.
Katanya dia sedang cuba menguasai ilmu bisindo (bahasa isyarat Indonesia) supaya orang yang mempunyai masalah pendengaran boleh memahami setiap patah perkataan disampaikan dalam nyanyiannya.
Malah katanya untuk setiap video muzik yang akan ditampilkan selepas ini, dia nekad untuk menggunakan kaedah bisindo, selain menambah sari kata dalam paparannya.
"Sejak enam bulan lalu sudah mula belajar tetapi masih banyak perlu dipelajari sebelum benar-benar boleh menguasai bisindo.
"Saya nekad untuk terus menghasilkan muzik video yang memaparkan bahasa isyarat dan juga sari kata," katanya ketika ditemui baru-baru ini di Kuala Lumpur.
Menurut Anji atau nama penuhnya Erdian Aji Prihartanto, 38, ilham itu tercetus selepas dia mengarah sebuah klip video.
Pernah menang anugerah
Katanya, pada awal ia cuma digunakan sebagai gimik dalam video muzik untuk lagu Dia yang diterbitkan dua tahun lalu.
“Model dalam Dia berlakon kononnya tidak boleh bercakap dan mendengar, justeru wanita itu menggunakan bahasa isyarat.
“Selepas itu saya tergerak hati untuk mencari dan memikirkan idea seterusnya dan menyedari bahawa perkara seperti ini mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya.
Mulai dari situ, Anji muncul dengan lagu Bidadari Tak Bersayap - sebagai sambungan kepada lagu Dia - yang juga turut mempamerkan bisindo dan sari kata.

Katanya, dia tidak menyangka usaha itu mendapat pujian orang ramai malah pengikutnya di Instagram juga kian bertambah khususnya daripada kalangan orang cacat pendengaran.
“Orang tuli itu punya hak untuk memperoleh maklumat sama seperti kita,” katanya.
Untuk makluman, single Dia dan Bidadari Tak Bersayap menggunakan konsep trilogi dengan peminat turut berpeluang mendengar lagu ketiga yang akan diterbitkan sekitar pertengahan tahun ini.
Dia mengisahkan seseorang yang pernah terluka kembali mengenal cinta, manakala Bidadari Tak Bersayap menceritakan seorang kekasih yang diajak bernikah. Lagu ketiga pula nanti berkisah mengenai sambutan ulang tahun perkahwinan.
Anji seorang penyanyi yang muncul sejak 2004 tetapi pada ketika itu masih menganggotai kumpulan Drive.
Dia hanya bergerak secara solo mulai 2011. Selain selalu dicalonkan, Anji juga pernah memenangi pengiktirafan dalam acara seperti Anugerah Planet Muzik Singapura sebagai artis pendatang baru terbaik pada 2012.
Selain Dia dan Bidadari Tak Bersayap, nama Anji turut popular dengan lagu-lagu seperti Berhenti Di Kamu, Jerawat Rindu dan Ku Tak Salah Melepasmu.

