Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sekumpulan aktivis budaya Selangor bercadang untuk menghadap sultan untuk mengadukan masalah mereka yang didakwa gagal dibela kerajaan negeri.

Anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, berkata kumpulan terbabit sangat berharap hak mereka dapat dikembalikan kerana isu budaya amat rapat dengan jiwa Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Kita akan tunjukkan solidariti melalui satu himpunan budayawan Selangor bagi menunjukkan kekuatan dan kebersamaan dalam isu kebudayaan yang semakin dipinggir dan diketepikan oleh kerajaan negeri," katanya.

Budiman ditemui selepas Diskusi Budayawan Selangor di Ibu Pejabat Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS) di Seksyen 4, Shah Alam hari ini.

Turut hadir dalam program itu bekas menteri besar Selangor Muhammad Muhammad Taib.

Kerajaan negeri Selangor pada 2016 meminta MKNS - yang dianggotai gabungan lebih 20 persatuan kebudayaan di seluruh Selangor - mengosongkan premis berkenaan atas tujuan tertentu.

Pinggirkan budayawan tempatan

MKNS selama ini beroperasi di bangunan milik kerajaan negeri di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor di Seksyen 7, Shah Alam.

Budiman berkata, kerajaan pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali dilihat seperti meminggirkan MKNS kerana menghalang mereka beroperasi semula di bangunan sama.

“Selepas berlaku perubahan kepada dasar negeri, MKNS mula dikenakan sewa dan akhirnya diminta keluar, pihak yang mengasaskannya dihalau keluar.

"Adakah soal keterbukaan dan mendekati karyawan tidak menjadi agenda kerajaan negeri?" katanya.

Budiman menambah sejak empat dekad MKNS dan Majlis Belia Negeri Selangor menjadi penggerak usaha membina jati diri masyarakat Selangor.

Kini katanya ada usaha melumpuhkan gerakan tersebut dengan meminggirkan golongan budayawan tempatan.

Katanya ia bertentangan dengan sikap terbuka seperti dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri selama ini.

Kongsi bayar sewa

Sementara itu, ditanya sama ada mereka ada cuba mengadakan pertemuan dengan Azmin, Yang Dipertua MKNS, Datuk Abdul Samad Maharudin, berkata usaha itu pernah dilakukan tetapi gagal.

Bagaimanapun, Abdul Samad mengakui mereka dapat menyewa sebuah bangunan di Seksyen 4 Shah Alam selepas membuat rayuan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Selangor.

"Dua tahun lalu kami pernah berjumpa kerajaan negeri supaya MKNS dikekalkan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri tetapi kemudian dimaklumkan permohonan itu ditolak.

“Kami menduduki bangunan itu semasa kerajaan BN. Hanya selepas mengadu dapat menyewa bangunan sekarang ini tetapi kami tidak berkesempatan untuk berjumpa menteri besar Selangor.

“Kami tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan negeri.

"Kami hanya mendapat bantuan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan dan kadangkala kami perlu berkongsi membayar sewa dengan ahli gabungan yang mampu,” katanya.

Lihat Komen
ADS