Kilafairy pertaruh Put The Word In di pasaran antarabangsa
Keberanian harus wujud seiring dengan peluang untuk menjayakannya dan itulah yang terjadi kepada Kilafairy yang seperti terpijak rezeki apabila muncul berduet dengan penyanyi antarabangsa Sean Kingston.
Menurut Kilafairy, kesempatan yang sama turut memberi laluan lain kepadanya apabila dia diberi kepercayaan untuk membawa genre yang menjadi pilihannya iaitu elektronik R&B selepas bertahun-tahun ternanti-nanti saat keemasan itu.
"Banyak pihak yang gentar untuk keluarkan lagu seperti Put The Word In tetapi pihak syarikat rakaman kali ini berani.
"Malah dulu orang lain tidak percaya dengan kebolehan saya, justeru mereka takut hendak mencuba.
"Takut lagu begini tidak boleh dijual tetapi saya sudah lama berani untuk menjayakannya," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran Put The Word In di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman bekerja ketika proses rakaman studio dengan Kingston (gambar) - penghibur yang mempunyai darah campuran Amerika-Jamaica itu - Kilafairy mengakui dirinya cukup teruja dan gementar pada masa sama.
“Kingston berada sehari saja di studio ketika berkunjung ke Malaysia. Katanya lagu itu amat sesuai dengan vokal dan personaliti yang ada pada saya,” katanya yang berjaya menyiapkan proses rakaman sepenuhnya dalam dua hari.
Tembusi carta iTunes
Ketika segelintir anak tempatan berusaha untuk mencipta nama di luar negara, ramai juga antara mereka terpaksa akur apabila kecundang di tengah jalan.
Pun begitu hal berkenaan sedikit pun tidak menimbulkan kebimbangan kepada anak penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil yang itu.
Mungkin berdasarkan pengalaman rakan-rakan seperjuangan dalam industri seperti Yuna dan Mizz Nina yang pernah bekerjasama dengan penyanyi AS Usher dan Colby O'Donis merangsang semangat yang ada pada Kilafairy.

"Saya meletakkan harapan tinggi untuk lagu ini hit di persada antarabangsa. Saya serahkan perkara berkaitan promosi kepada pihak pengurusan dan selebihnya menyanyi dengan seikhlas mungkin," kata pemilik nama penuh Syakila Nisa Jahangir, 25, itu.
Selain Kilafairy dan Kingston, projek duet itu turut menampilkan DJ Aku Ash yang berperanan selaku komposer manakala lirik disusun oleh Bryn B dan Radio3000.
Menurut syarikat rakaman Paranormal Records, Put The Word In berjaya menembusi carta iTunes di beberapa buah negara seperti Indonesia, Taiwan, Filipina dan Belgium.
Ini adalah single keempat Kilafairy. Sebelum itu dia pernah menghasilkan Pasti pada 2012 manakala terakhir sebelum Put The Word In, adalah Setia yang diterbitkan dua tahun lalu.
Ketika di awal kemunculan pada sidang media berkenaan, Kilafairy tampil lincah menari tarian ala Jamaica sambil menyanyikan Put The Word In.
Malah tarian yang sama juga akan dipersembahkan dalam muzik video yang dijangka diterbitkan pada Jumaat ini.
Mengulas mengenai tarian berkenaan yang mungkin mendapat bantahan atau menjadi pertikaian umum, Kilafairy bagaimanapun sudah bersedia dengan segala kemungkinan.
“Saya akan memastikan tiada bahagian tarian yang terlalu seksi dipotong untuk disesuaikan dengan penerimaan masyarakat kita,” katanya.

