Artis mural tak dapat masuk Malaysia
Artis Lithuania, Ernest Zacharevic yang terkenal dengan lukisan muralnya dihalang memasuki negara ini.
Menerusi Instagram, Zacharevic memberitahu dia kini berada di Singapura dan meminta mereka yang mengenalinya tidak bimbang dengan keselamatannya.
"Saya di Singapura sekarang. Saya tahu semua orang bimbang, jadi saya nak beritahu saya selamat, sedang menghirup udara segar dan kebebasan di Singapura," katanya di laman sosial itu.
Sementara itu peminat seni tempatan dan rakan Zacharevic, Tan Chor Whye, berkata masalah yang dihadapi sahabatnya itu adalah perkara biasa.
"Prosedur imigresen biasa untuk pelawat. Jangan risau. Semuanya baik," katanya seperti dilapor The Star.
Zacharevic tidak menyebut sampai bila dan mengapa dia tidak dapat memasuki Malaysia.
"Setem dalam pasport saya tidak benarkan saya memasuki Malaysia. Tiada siapa yang menjelaskan mengapa dan berapa lama," katanya dalam posting berkenaan.
Sementara itu The Star melaporkan pihak imigresen tidak dapat dihubungi bagi mengulas isu itu semalam.
Zacharevic adalah tunang kepada Sheena Liam, pemenang siri realiti TV Asia’s Next Top Model Cycle 2 pada 2014.
Dia melamar Liam, 26, melalui tulisan pada papan tanda besar di Lithuania Julai lalu.
Liam sebelum ini mendedahkan mereka mungkin berkahwin pada musim panas di Lithuania dan majlis resepsi pula mungkin akan diadakan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Zacharevic menerima pujian di seluruh dunia pada tahun 2012 selepas membuat satu siri mural seni jalanan bagi Festival George Town di Pulau Pinang.
Dua lukisan muralnya yang paling popular bertajuk Children on a Bicycle dan Boy on a Bike.

