Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Farid Kamil buat laporan polis
Diterbitkan:  Feb 1, 2018 5:18 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Polis mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat pelakon dan pengarah popular Datuk Farid Kamil di Balai Polis Damansara petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, laporan diterima pada 5.54 petang itu berkaitan penahanan Farid sebelum ini.

"Saya mengesahkan polis menerima laporan itu yang membabitkan banyak perkara iaitu sebelum, ketika dan selepas kejadian berkenaan (penahanan).

"Siasatan sedang dijalankan secara terperinci termasuk mengenai nama-nama individu yang dilaporkan oleh Farid," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Fadzil berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Shah Alam yang disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Jawatan KPD terdahulu, Senior Asisten Komisioner Shafien Mamat itu kini dijawat bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Perlu rujuk peguam

Dalam pada itu, Fadzil berkata Farid dinasihatkan merujuk terlebih dulu dengan peguamnya kerana kes beliau masih dalam proses perbicaraan.

"Selepas laporan polis itu dibuat, Farid harus bertanggungjawab dan memberikan kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan. Kita akan memanggil dia untuk merekodkan keterangan dalam kadar segera," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Farid pada 11 Januari lalu hadir ke Balai Polis Kota Damansara untuk membuat laporan mengenai kemalangan jalan raya.

Namun ketika berurusan di kaunter, Farid didakwa menampar muka seorang anggota polis berusia 24 tahun yang menerima aduan itu dan menendang dua orang awam yang berada di situ.

Kejadian itu turut disaksikan beberapa anggota polis dan orang awam.

 

 

Lihat Komen
ADS