Kartunis satira terkenal Zunar menyifatkan Malaysia kini seperti Korea Utara apabila artis mural terkenal Lithuania Ernest Zacharevic dilarang masuk ke negara ini.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque juga menyifatkan nasibnya Zacharevic itu hampir sama dengan apa yang dialaminya.

“Artis mural dilarang masuk Malaysia, pada masa yang sama kartunis dilarang keluar Malaysia.

“Zacharevic tidak boleh masuk, saya tidak boleh keluar.

“Kenapa kerajaan takut pada seniman? Kami tidak bawa bom, hanya pen dan berus,” katanya.



Kerajaan sebelum ini dilapor mengenakan larangan keluar negara terhadap Zunar, yang menghasilkan banyak karya-karya mengkritik kerajaan. Beliau mencabar larangan itu di mahkamah.

Menerusi Instagram, Zacharevic berkata pasportnya dicop dengan larangan memasuki Malaysia tanpa penjelasan, termasuk untuk berapa lama.

The Star melaporkan pihak imigresen tidak dapat dihubungi bagi mengulas isu itu kelmarin.

Dalam kenyataan hari ini juga, Zunar berkata kerajaan pusat patut malu kerana tidak setanding dengan Pulau Pinang yang memberikan kebebasan kepada seniman seluruh negara untuk menyampaikan suara mereka secara artistik.

Perkara itu, katanya, dijalankan melalui pelbagai program seperti Festival Sastera George Town baru-baru ini.

Zunar juga menggesa larangan terhadap Zacharevic ditarik balik.

Zacharevic adalah tunang kepada Sheena Liam, pemenang siri realiti TV Asia’s Next Top Model Cycle 2 pada 2014.

Liam sebelum ini mendedahkan mereka mungkin berkahwin pada musim panas di Lithuania dan majlis resepsi pula mungkin akan diadakan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Zacharevic menerima pujian di seluruh dunia pada tahun 2012 selepas membuat siri mural seni jalanan bagi Festival George Town di Pulau Pinang.

Dua lukisan muralnya yang paling popular bertajuk Children on a Bicycle dan Boy on a Bike.

[Baca berita asal]