Tidak berhati-hati ketika mengambil makanan tambahan membawa padah buat penyanyi Hafiz Suip dan isteri apabila anak mereka mengalami masalah kesihatan akibat produk berkenaan.

Hafiz berkata, semuanya bermula akibat dia dan isteri, Nureffy (Effy) Jesreel Abdullah terlalu mempercayai promosi dilakukan pihak tertentu di media sosial.

“Effy pernah mengambil pil untuk menambah susu badan. Tetapi selepas mengambil makanan tambahan itu kesan terkena pada anak kami yang mengalami bintik-bintik merah pada badan.

"Kami syak ia kesan produk itu yang bercampur dengan susu dan diminum anak kami.

“Mungkin produk kesihatan tambahan itu tidak sesuai untuk anak kami,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single, video muzik dan mini showcase Rocketfuelx Redbox di Kuala Lumpur hari ini.

Hafiz dan Effy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei dua tahun lalu.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Riyadh atau nama penuhnya Muhammad Riyadh Zafri pada 31 Disember tahun lepas.

Menurut penyanyi Bahagiamu Deritaku itu, paling disesalkan adalah dia dan Effy tidak merujuk kepada mana-mana pakar terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk membeli sebarang produk makanan tambahan untuk Riyadh.

Rujuk pada pakar

Hafiz mengakui dia bukan orang yang pakar dalam bidang berkenaan untuk memberi nasihat kepada umum, namun sekadar ingin berkongsi pengalaman di masa lalu.

Pada masa sama penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi program Akademi Fantasia musim ketujuh itu tidak mahu mengaitkan isu tersebut dengan mana-mana pihak.

“Saya nasihatkan masyarakat di luar sana agar merujuk kepada pakar sebelum membeli dan makan sebarang produk kesihatan tambahan,” katanya.

Baru-baru ini pengacara dan pelakon popular Neelofa dikecam sesetengah pihak apabila mempromosi sebuah jenama produk kesihatan tambahan di akaun Instagram miliknya.

Dalam iklan berkenaan, Neelofa mendakwa produk tambahan itu sesuai untuk menyelesaikan pelbagai masalah kulit dan sesuai untuk semua golongan termasuk bayi dan kanak-kanak di bawah usia dua tahun.

Bagaimanapun, selepas mendapat bantahan pelbagai pihak, Neelofa memuat naik penjelasan mengenai isu itu di akaun Twitter miliknya.

Kata Neelofa dia menghargai kebimbangan disuarakan orang ramai malah menjelaskan pihak pengurusan syarikat terbabit sedang berusaha menangani kekeliruan dari isu yang timbul.

Reaksi di media sosial turut menarik perhatian Dr Nur Amalina Che Bakri, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia pada 2004.

“Terima kasih @Neelofa, kami menanti-nantikan perkara itu.

“Saya kagum dengan anda @Neelofa dan mari bekerjasama untuk memastikan maklumat tepat diberikan kepada umum. Kami, doktor-doktor tidak menentang anda. Kami cuma bimbang dengan bayi-bayi ini,” katanya juga di Twitter.