Adira tak pinta laporan isu poligami jadi kontroversi
Poligami memang halal dalam Islam namun bagi budaya semasa masyarakat setempat, isu itu mudah mengundang jika tidak diuruskan dengan betul.
Tambahan pula jika amalan itu membabitkan golongan selebriti.
Itu yang berlaku dan menjadi pengajaran buat Adira dan Izreen Azminda. Semuanya gara-gara mereka menjadi penghias sebuah majalah dengan tajuk yang memang dapat dijangka mengundang kontroversi - Naluri Isteri No 2.
Pengkritik mempersoalkan mengapa sesebuah penerbitan sengaja mengangkat kisah kedua-dua selebriti berstatus isteri kedua itu dalam laporan mereka.
Kecaman juga dibuat kerana penonjolan itu seolah-olah menggambarkan wanita perosak rumahtangga perlu dijadikan bahan bacaan umum.

Mengulas isu berkenaan, Adira - atau nama penuhnya Siti Adira Suhaimi - berkata dia bukan sengaja mahu mencipta kontorversi apatah lagi ada kuasa dalam menentukan pendekatan kulit depan majalah.
“Saya tidak berkata jadi isteri kedua salah, tetapi saya memahami isu seperti ini amat sensitif buat rakyat di negara ini.
"Cuma saya nak orang ramai faham, (tajuk itu) tidak ada kena mengena dengan keputusan saya.
“Ia mungkin cuma sebahagian daripada cara melariskan sesebuah majalah,” katanya yang ditemui pada sidang media pelancaran video muzik Rocketfuel x Redbox di Kuala Lumpur semalam.
Adira, 26, adalah antara enam nama artis yang bernaung di bawah label Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd.
Susah jadi mudah
Penyanyi lain termasuk Hafiz Suip, Syamel, Sufi dan Ara yang turut melancarkan video karaoke di setiap cawangan Red Box.
Gambar hadapan kulit majalah yang mengetengahkan isu poligami itu dimuat naik di akaun rasmi Instagram majalah terbabit tiga hari lalu.
Sesetengah pihak kelihatan kecewa dengan judul yang diberikan dan ada antara mereka mengancam untuk memboikot terbitan berkenaan.
Enggan mengulas lebih lanjut Adira berkata dia sudah lali menjadi mangsa kecaman namun setakat ini mampu mengawal diri daripada memberikan reaksi balas di media sosial.
“Bagi saya, langkah terbaik adalah dengan berdiam diri, tetapi ini bukan bermakna saya tidak mengambil tahu," katanya yang yakin hal itu akan cepat berlalu.

Sebagai isteri yang berkongsi suami penyanyi lagu Untuk Cinta itu memahami realiti hidup bermadu. Justeru dia mendoakan Izreen tetap bahagia selepas menjadi isteri kedua.
Tambahan pula kata Adira dia melihat Izreen seorang wanita yang kuat.
“Semoga Izreen tabah, saya pernah berada dalam situasi dia (dikecam ketika baru berkahwin)," katanya.
Untuk rekod, Adira menjadi isteri kedua kepada ahli perniagaan Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali dengan gelaran Datuk Red selepas mereka bernikah pada Disember 2015 di Songkhla, Thailand.
Izreen pula diijabkabul dengan pemuzik terkenal Muhammad Radzi Abdul Wahid pada 8 Ogos tahun lalu.
Sementara itu, berkongsi mengenai single terbarunya selepas lama menyepi, Adira berkata lagu Sembunyi itu mempunyai kelainan kerana mengikut peredaran muzik semasa.
Buah tangan sempena tahun baru itu juga, katanya, menandakan dia bakal kembali sibuk di persada seni tanah air.
“Pada awal ia sukar dirakam tetapi Alif Sleeq (komposer) seorang yang senang berurusan dan selalu memberi sokongan hingga proses itu bertukar menjadi mudah," katanya.

