Meskipun tayangannya di negara ini diharamkan, pengedar filem Padmaavat, Antenna Entertainments, masih mengharapkan keterbukaan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk mengubah keputusan diambil sebelum ini.

Pengarah urusannya, Liza Hussein, berkata filem yang memaparkan lakonan Deepika Padukone itu tidak menimbulkan sebarang masalah apabila ditayangkan di negara Arab.

Malah pada masa sama, Liza yakin filem epik yang mengetengahkan isu percintaan antara raja beragama Islam dan permaisuri Hindu itu tidak menyongsangkan akidah penonton.

Bagi Liza, keseluruhan penerbitan menitikberatkan aspek percintaan, sinematografi dan keindahan latar masa sekali gus menjadikan Padmaavat sebuah naskhah indah untuk menjadi tatapan umum.

Dia juga berkata, kepada sesiapa yang mengikuti perkembangan dan filem arahan Sanjay Leela Bhansali itu pasti mengenali hasil kerja pernah dihasilkannya.

"Saya sendiri sudah menonton Padmaavat sebelum membelinya sekitar Oktober tahun lalu.

"Bagi saya, filem ini dikupas secara berseni, malah secara peribadi saya tidak rasa ia mampu memesongkan pemikiran orang ramai, khususnya golongan muda.

"Latar tempatnya juga jauh di India, sekali gus membuatkan kami tak sangka ia dikatakan membawa mesej tidak baik, sedangkan banyak pengajaran lain yang boleh diperoleh daripada filem itu," katanya seperti dilapor BH Online.

Kalau melihat sudut sentimen agama seperti didakwa, kata Liza, pihaknya tidak faham mengapa ia dibenarkan di negara Islam lain seperti Bahrain, Arab Saudi dan Dubai.

Padmaavat mencetuskan polemik hingga mengakibatkan rusuhan di India tahun lalu.

Sekarang jadi buntu

Ia disebabkan kisah cinta berbeza kepercayaan itu menyentuh sensitiviti kaum atau agama di negara berkenaan.

LPF pula mengharamkan filem dilakonkan bagi menjaga sensitiviti agama di negara ini, dan bukan kerana pengaruh rusuhan di India.

Agensi itu berpendapat, keputusan mengharamkan dinilai daripada semua sudut termasuk jalan cerita, watak dan adegan. Malah isu utama yang menjadi fokus pengharaman adalah kerana keseluruhan jalan ceritanya merendahkan martabat Islam.

Dalam pada itu, Liza mendedahkan sepanjang 12 tahun syarikat Antenna Entertainaments menjalankan operasi, pihaknya sentiasa memastikan produk dibawa masuk adalah yang terbaik dan tidak mencetuskan sebarang isu.

"Sepanjang tempoh berkenaan, kami sudah mengedarkan pelbagai genre filem termasuk dari Indonesia, India dan naskhah besar Amerika Syarikat.

"Kami cuma mahu berkongsi naskhah yang indah dengan khalayak. Kami tidak menyangka tercetusnya isu rusuhan di dua tempat di India, tetapi di negeri lain nampaknya ia tetap ditayangkan.

"Berikutan keyakinan kami terhadap filem itu juga, Antenna membelanjakan kira-kira RM117,000 untuk pemasarannya saja," katanya.

Ketika ini kata Liza mereka berdepan kebuntuan kerana larangan LPF berkenaan, namun berharap masih ada jalan penyelesaian.