Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lokasi penggambaran filem, drama dalam radar AADK
Diterbitkan:  Feb 8, 2018 10:42 PM
Dikemaskini: 3:11 PM

Menyedari betapa berbahayanya ancaman dadah Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) mengambil langkah tegas untuk membendung amalan itu dalam kalangan penggiat seni.

Justeru, persatuan itu berazam untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Matlamatnya, mereka akan mengadakan operasi membanteras penyalahgunaan dadah di lokasi penggambaran drama atau filem di negara ini.

Setiausaha Agung SENIMAN Hafiz Nafiah berkata serbuan itu dirancang akan turut disertai oleh beberapa persatuan serta agensi kerajaan termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Seniman sangat komited dan memandang serius berkenaan dengan isu dadah di kalangan artis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata sepakat itu dipersetujui selepas kepimpinan SENIMAN mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abdul Halim dan pegawai kanan agensi itu pagi tadi.

Kata Hafiz kerjasama dua hala dijalinkan SENIMAN dengan AADK dibuat berikutan masalah berkaitan dadah timbul satu persatu membabitkan artis tempatan.


Baca: Nasib bintang porno muda papa lepas mati


Menurut Hafiz, beberapa perkara penting dalam menangani isu dadah membabitkan golongan terbabit turut dipersetujui kedua-dua pihak.

“Antara yang dipersetujui ialah melantik penasihat bagi AADK untuk memberi pandangan berkaitan isu dadah dalam dunia seni dan menjalankan aktiviti bersepadu seperti rawatan pemulihan, latihan, pencegahan, dan kajian," katanya.

Selain itu SENIMAN turut mencadangkan agar suatu forum seperti sesi dialog Transfomasi Nasional 2050 (TN50) diadakan. Ia kata Hafiz dibuat dengan tumpuan terhadap kempen kesedaran bahaya dadah di kalangan aktivis seni.

"SENIMAN berharap ahli pertubuhan ini serta orang ramai bersama-sama mengalas tanggungjawab sosial ini demi memastikan industri seni bebas daripada dadah menjelang 2023," katanya.

Lihat Komen
ADS