Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Memiliki pengalaman sebagai penyanyi namun bakat Aisyah Aziz ternyata tidak terhad kepada bidang seni suara saja.

Justeru itu yang dapat dilihat apabila dia muncul menjayakan drama mini bersiri enam episod, Indah Pada Waktunya.

Dalam drama itu artis dari Singapura berkenaan membawa watak kekasih kepada pasangan duetnya dalam lagu dengan judul yang sama, Rizky Febian.

Untuk rekod Rizky ialah penyanyi Indonesia yang juga anak kepada pelawak popular di negara itu, Sule.

Namun kata Aisyah dia tidak mahu terburu-buru terjun ke dunia lakonan dengan lebih mendalam. Malah katanya dia lebih gemar terbabit dalam pementasan teater muzikal.

Kata Aisyah, 23, teater muzikal dianggap lebih dekat dengan dirinya memandangkan dia sendiri seorang penyanyi.

“Saya tidak menolak untuk berlakon sekiranya diberi tawaran, cuma masih perlu menilai ia dari sudut kesesuaian skrip yang boleh mempamerkan jalan cerita yang benar-benar menarik perhatian.

“Saya tak mahu melakonkan sesuatu watak yang tidak selesa untuk dibawa.

“Cuma dalam hal ini (dunia lakonan) harus dinyatakan bahawa teater muzikal lebih memang menarik minat saya,” katanya.

Mudah mesra, ramah

Aisyah atau nama penuhnya Nur Aishah Aziz, 23, ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaru Indah Pada Waktunya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Walaupun baru kali pertama beraksi sebagai pelakon, kemunculan Aisyah mendapat perhatian kerana kelihatan bersahaja.

Adik kepada penyanyi Aliff Aziz itu juga menjelaskan dia tidak mahu terburu-buru untuk melompat ke bidang lain kerana fokus utamanya kini masih lagi sebagai penyanyi.

“Saya tidak mahu berlakon semata-mata untuk mengejar glamor tetapi pada hakikatnya tidak reti berlakon pun,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai adegan romantis dan berpelukan dengan Rizky dalam drama berkenaan, Aisyah menjawab isu berkenaan tidak wajar diperbesarkan.

Menurutnya, ia tidak keterlaluan dan cuma dilakukan beberapa ketika.

“Saya cuba bersikap profesional dalam hal membabitkan kerja agar dapat memberikan hasil terbaik.

“Lagipun saya mempunyai keperibadian mudah mesra dan ramah," katanya.

Aisyah sebenarnya bukan nama yang asing di Singapura. Di negara itu dia pernah memenangi tiga trofi selain dicalonkan dalam sembilan kategori di Anugerah Planet Muzik 2017.

Lihat Komen
ADS