Akhirnya adiwira Marvel jadi penghias kulit Time
Selain dipuji pengkritik, filem Black Panther juga membuat kejutan tersendiri apabila berjaya memperoleh liputan dalam majalah Time.
Ia pencapaian julung kali buat Marvel Studio kerana majalah Amerika Syarikat itu tidak pernah memilih mana-mana watak adiwira untuk dijadikan penghias kulit depan.
Pada kulit depan edisi Februari, Time menampilkan Chadwik Boseman, bintang utama yang memegang watak sebagai T’Challa.
Dengan mempamerkan ekspresi misteri, Boseman muncul dalam potret hitam putih disertakan dengan kapsyen: “ Bangkitnya seorang pahlawan: Adikuasa Black Panther.”
Artikel mengenai filem arahan Ryan Coogler itu dikeluarkan dengan judul “Revolusi Kuasa Black Panther”, tulisan Jamil Smith.
Penggemar filem-filem adiwira terbitan Marvel bakal menyaksikan Black Panther di layar perak bermula 14 Februari ini.
Black Panther mengisahkan peristiwa yang berlaku selepas siri “Captain America: Civil War” mengambil tempat.
T’Challa (Black Panther) kembali untuk menuntut haknya sebagai raja Wakanda tetapi mendapati dia perlu merebut takhta itu dengan pesaing lama, selain beberapa puak dalam negaranya, dalam konflik yang memberi kesan secara global.
Situasi itu menyebabkan Black Panther tidak mempunyai pilihan lain selain bekerjasama dengan agen Agensi Risikan Pusat (CIA) AS, Everett K Ross dan Dora Milaje.
Kedua-duanya dari unit khas untuk menghalang negara itu dari terbabit dalam perang dunia.
Selain Boseman, barisan pelakon turut menjayakan Black Panther adalah Michael B Jordan, Lupita Nyong'o, Danai Gurira, Martin Freeman, Daniel Kaluuya, Letitia Wright, Winston Duke, Angela Bassett, Forest Whitaker dan Andy Serkis.

