Laporan: Sofi Jikan mengaku tak bersalah guna ganja

   

Sofi Jikan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan ganja, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Pelakon dan pengarah berusia 48 tahun itu didakwa memasukkan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC) di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 11.15 malam, 6 Februari lalu.

"Saya tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan," katanya yang berada dalam kandang tertuduh, seperti dipetik BH Online hari ini.

Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan Sofi diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pelakon filem KL Ganster dan Rock Bro itu ditahan reman selama tiga hari pada 7 Februari lalu ketika hadir ke Balai Polis Mutiara Damansara untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil.

Beliau dibebaskan pada 9 Februari dengan jaminan polis.

Kes yang mendapat perhatian ramai ini bermula dengan tindakan Farid menampar anggota polis pada 11 Januari lalu.

Farid kemudian membuat laporan polis dan mendakwa tiga artis telah meletakkan dadah ke dalam minumannya menyebabkannya bertindak di luar kawalan ketika itu.

Selain Sofi, turut dikaitkan dengan laporan itu adalah anggota kumpulan Innuendo, Taj atau Ahmad Tajuddin, dan seorang individu bernama Firdaus.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.