Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nasib baik Iqram tak naik masa Altimet di pentas
Diterbitkan:  Feb 13, 2018 8:04 PM
Dikemaskini: 12:14 PM

Kelibat Iqram Dinzly tiba-tiba muncul menaiki pentas pada acara penutup Anugerah Juara Lagu ke-32 pada Ahad lalu rupa-rupanya bukan dirancang.

Malah pelakon itu didakwa cuba naik ke pentas itu lebih awal, iaitu semasa penyanyi rap Altimet membuat persembahan.

Melalui akaun Twitter miliknya, Altimet seolah-olah melontarkan amaran keras kepada pelakon itu yang tidak lekang daripada kontroversi.

Altimet membayangkan, sekiranya tidak dihalang tindakan Iqram yang didakwanya mahu berada di atas pentas pasti boleh mendatangkan kemudaratan yang tidak dirancang.

“Baru dapat tau masa #ajl32 (Anugerah Juara Lagu ke-32) hari tu Che Iqram nak naik stage masa aku perform.

“Ini hip hop, bro. Kalau tidak diundang naik pentas (tapi) kau naik juga, siku kaki buku lima semua kau boleh jamah der. Adat kami lain sikit,” katanya.

Tak mahu keruh keadaan

Bagaimanapun, Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 39, mengucapkan terima kasih kepada petugas acara yang sempat menghalang Iqram daripada meneruskan hasratnya itu.

“Syabas kepada pekerja Media Prima Berhad sebab melindungi dia daripada kecederaan,” tambahnya.

 

 

Tindakan Iqram itu dipercayai dilakukan tanpa mendapat sebarang persetujuan daripada pihak produksi TV3.

AJL32 yang ke udara secara langsung dari Axiata Arena Bukit Jalil pada 11 Feb lalu menyaksikan Altimet berjaya membawa pulang trofi persembahan terbaik melalui lagu Amboi dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000.

Pemenang hadiah utama, Hael Husaini pula diumum sebagai juara melalui lagu Jampi, yang dicipta bersama Ezra Kong.

Altimet dalam pada itu turut berkata tujuan dia meninggalkan dewan sebaik Hael diumum sebagai pemenang kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Dia berkata demikian kerana Iram turut naik ke pentas bagi meraikan kemenangan Hael.

"Sebab itu masa kau naik pentas bila juara nyanyi lagi sekali aku chow. Tak nak keruhkan keadaan," katanya.

Selain kejadian yang didakwa Altimet, Iqram sebelum ini pernah memberi kejutan sama apabila menyerbu pentas penyanyi yang popular melalui lagu Pematah Hati, Nabila Razali.

Sementara itu, dengan kemenangan terbaru itu juga, Altimet mengotakan janjinya sebelum ini untuk berundur dari dunia nyanyian apabila usianya menginjak 40 tahun.

Lihat Komen
ADS