Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Azmil Mustapha meninggal dunia
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 2:48 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Pelakon popular era 1980-an Azmil Mustapha meninggal dunia kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi di kediamannya di Seksyen 9 Shah Alam.

Adik allahyarham, Aziq Mustapha memberitahu pelakon yang popular melalui filem seperti Mekanik dan Ali Setan itu menghembuskan nyawa terakhir dalam tidur, lapor Utusan Online.

Azmil, 65, sebelum ini pernah dilaporkan keluar dan masuk hospital beberapa kali ekoran masalah kesihatan dihadapi seperti jantung tidak berfungsi secara normal.

Sejak bersara daripada dunia lakonan allahyarham banyak menghabiskan masanya untuk mendalami ilmu Islam dan sering juga dijemput memberikan ceramah agama di masjid serta surau.

Kepulangan Azmil ke rahmatullah itu turut dinyatakan anak lelaki tunggalnya, Mohd Bazli sejurus selepas aktor terbabit menghembus nafas terakhir.

"Kami akur dengan ketentuan ini. Pahit untuk ditelan tapi Allah lebih menyayangi bapa kami," katanya dilaporkan BH Online.

 

Nama Azmil menjadi sebutan ramai selepas menjayakan filem komedi arahan Othman Hafsham, Mekanik, yang ditayangkan pada 1983. Turut mewarnai filem itu ialah legenda bola sepak negara Allahyarham Mokhtar Dahari, serta kemunculan awal Susan Lankester.

Namanya semakin memuncak apabila dipilih membawa watak utama filem Ali Setan yang diarahkan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin pada 1985. Ia menceritakan sekumpulan anak muda yang nakal dan melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang.

Ketika itu Azmil digandingkan dengan Ogy Ahmad Daud.

Tumpu kepada agama

Kejayaan Ali Setan kemudian membuka jalan kepada filem sambungannya, Ali Setan 2, arahan Yasin Salleh.

Ali Setan juga membawa nama Azmil dinobatkan sebagai aktor terbaik Festival Filem Malaysia keenam pada 1986.

Filem lain dilakonkan Azmil ialah Suara Kekasih, Driving School, Iman Alone dan Fifty Cent.

Allahyarham juga mempunyai latar pendidikan yang baik. Dia pernah menuntut selama lima tahun di Universiti Indianna, Bloomingtion, AS dan membawa pulang segulung ijazah sarjana muda dalam bidang filem, radio dan televisyen pada 1979.

Azmil memilih keputusan untuk bersara dari dunia hiburan selepas terbabit aktif selama bertahun-tahun dan menumpukan kehidupannya dengan aktiviti keagamaan sejak tahun 2000.

Perkahwinan pertama Azmil dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Shamira, manakala dengan isteri kedua, dia dikurniakan empat anak.

Mereka adalah Nur Azalea Arifah, Nur Amalia Batrisha, Muhammad Bazli Zhafri, dan Nur Alia Iman.

 

Lihat Komen
ADS