Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Iqram 'naik sheikh' tengok persembahan Altimet
Diterbitkan:  Feb 16, 2018 5:36 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Iqram Dinzly memohon maaf kepada Altimet kerana cuba menaiki pentas ketika penyanyi rap itu menyampaikan persembahannya di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 pada Ahad lalu.

Dalam wawancara bersama mStar Online hari ini, pelakon yang menjadi bualan ramai itu berkata beliau tidak berniat untuk mengganggu persembahan Altimet sebaliknya sangat menikmatinya.

Dan menurut Iqram itulah sebabnya mengapa dia cuba berbuat demikian.

"Minta maaflah pada Altimet. Saya bukan apa, 'naik sheikh' melihat persembahannya.

"Saya cuma nak beri sokongan. Aura persembahannya terlalu tinggi dan bagus (sehingga) menjentik jiwa seni saya, tapi saya bukan bertindak melulu," katanya lagi pada wawancara itu.

Selasa lalu, Altimet meluahkan rasa marahnya di Twitter selepas mendapat tahu Iqram cuba menaiki pentas ketika persembahannya dan mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana menghalangnya.

Malah dia membayangkan sesuatu yang buruk boleh berlaku jika dia tidak dihalang untuk melakukannya.

Iqram, 36, bagaimanapun berkata dia tidak terasa hati dengan Altimet dan menganggap kenyataan itu sebagai teguran kepada dirinya.

"InsyaAllah kita sama-sama belajar tentang adat dan adab...Mungkin ada (perlakuan) yang keterlaluan, alah ambil peluang sedikit saja," katanya sambil tersenyum.

Iqram akhirnya berjaya menaiki pentas ketika pemenang malam itu Hael Husaini menyampaikan lagunya Jampi pada acara penutup.

Acara yang ke udara secara langsung dari Axiata Arena Bukit Jalil pada 11 Feb lalu menyaksikan Altimet berjaya membawa pulang trofi persembahan terbaik melalui lagu Amboi dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000.

Lihat Komen
ADS