Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Black Panther cetus kesedaran, inspirasi
Diterbitkan:  Feb 19, 2018 12:26 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Kesan daripada filem Black Panther yang fenomena di seluruh dunia, muncul tanda pagar yang membanjiri Twitter.

Melalui #WhatBlackPantherMeansToMe pengguna media sosial itu memanfaatkan filem pecah panggung berkenaan untuk berkongsi kisah inspirasi masing-masing.

Namun siapakah yang memulakan kempen tanda pagar #WhatBlackPantherMeansToMe itu?

Dia ialah Kayla Sutton, seorang pengarah pemasaran dalam talian kumpulan Black Girl Nerds (GBN), juga ibu kepada seorang kanak-kanak austistik.

Sebelum muncul Black Panther pun Kayla gigih memperjuangkan nasib anak-anak terpinggir akibat 'kekurangan' yang ada pada mereka.

Idea untuk menanamkan kesedaran itu timbul selepas Kayla melihat anak lelakinya - yang baru berusia lapan tahun - begitu teruja setiap kali melihat promo filem berkenaan.

Berbeza dengan sikap ditunjukkan anaknya itu sebelum ini, Black Panther membuat Kayla tertanya-tanya: apa yang istimewa pada filem arahan Ryan Coogler itu.

"Saya hairan - apa yang membuat anak saya begitu teruja? Anak saya itu pula berkulit hitam dan autistik.

"Kemudian saya sedar dia mempunyai sudut pandang yang unik pada dunia," kata Kayla menceritakan perihal anaknya itu.

Negara canggih di Afrika

Selepas diperhatikan Kayla yakin anaknya itu melihat watak Black Panther mewakili seorang adiwira yang benar-benar istimewa, dan tidak seperti biasa - dia berkulit hitam.

Keesokan harinya Kayla memulakan tanda pagar #WhatBlackPantherMeansToMe pada akaun Twitter BGN dan menggalakkan kakitangan pertubuhan itu menggunakannya.

Namun tidak dijangka tanda pagar itu turut menarik perhatian orang di luar BGN. Dan ia digunakan lebih daripada pengalaman filem, sebaliknya menjadi wadah mereka berkongsi kisah peribadi.

Untuk rekod Black Panther kini sedang mengungguli carta pecah panggung di seluruh dunia dengan kutipan lebih AS$300 juta.

Filem diambil daripada watak siri Marvel itu dilihat unik kerana memaparkan seorang lelaki berkulit hitam sebagai wira. Biasanya dalam siri Marvel watak adiwira utama berkulit putih dan kulit berwarna hanya dijadikan pembantu.

Filem Black Panther juga berkisar mengenai pergolakan sebuah negara dikenali sebagai Wakanda yang begitu canggih walaupun di mata orang biasa kelihatan amat miskin.

Penduduk Wakanda juga berkulit hitam.

Watak Black Panther dilakonkan oleh Chadwick Boseman dan filem berkenaan turut diwarnai pelakon Michael B Jordan, Lupita Nyong'o, Danai Gurira dan Martin Freeman.

Kemunculan filem itu berlaku ketika Hollywood masih bergelut untuk keluar daripada imej perkauman yang - antara lain - melatari pencalonan untuk pelbagai kategori dalam anugerah Oscar.

Di dunia realiti masyarakat kulit hitam di AS juga terus terpinggir dari arus perdana.

Seseorang yang menghidap austistik biasanya mempunyai masalah dalam hubungan sosial kerana sudut pandang atau pemahaman mereka kepada sesuatu berbeza daripada orang biasa.

Lihat Komen
ADS