Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dakwaan skandal seks tak gugat filem Lee Chong Wei
Diterbitkan:  Feb 19, 2018 3:10 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Kurang sebulan dari tarikh tayangan filem biopiknya akan ditayangkan, reputasi Datuk Lee Chong Wei digugat oleh dakwaan berhubung dakwaan skandal video seks.

Penerbit Josiah Chieng, individu di sebalik tabir Lee Chong Wei: Rise Of The Legend bagaimanapun mempertahankan jaguh badminton dunia itu.

Malah Josiah yakin penyokong juga akan turut berpendirian yang sama mengenai idola mereka itu.

“Penonton kini ramai yang berpendidikan, bijak dan matang. Mereka tidak akan mudah percaya dengan khabar angin yang cuba mencemarkan nama wira mereka,” katanya seperti dilapor New Straits Times.

Pada masa sama, keyakinan Josiah itu dikuatkan lagi apabila Chong Wei, 35, melaporkan isu terbabit kepada pihak polis.

Katanya, langkah itu akan meningkatkan perasaan kagum peminat terhadap anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu.

Selain itu kata Josiah, terdapat segelintir netizen yang mengecam tindakan individu tidak bertanggungjawab yang didakwa memfitnah Chong Wei.

“Hanya masa akan menentukan siapa berada di pihak benar atau salah dan saya yakin Lee akan membersihkan namanya.

“Beliau berjaya menempuh pelbagai cabaran untuk bergelar olahragawan dunia dan masalah ini yang timbul ini hanya kecil jika hendak dibandingkan dengan itu semua,” katanya.

Menurut Josiah, ramai orang berjaya yang turut menerima cabaran daripada invididu yang cuba menjatuhkan mereka dan ia termasuk legenda pop Amerika Michael Jackson.

“Nama Jackson akhirnya dibersihkan begitu juga dengan Lee.

“Rakyat negara ini tidak sabar untuk menonton kisah mengenai hero kita, yang akan meningkatkan perpaduan dan menggalakkan belia mencapai kecemerlangan walaupun berdepan rintangan,” katanya.

Sementara itu, Chong Wei sudah membuat laporan polis pada Rabu lalu berhubung klip video yang menjadi tular sejak enam hari lalu di alam maya.

Klip yang berdurasi tiga minit 12 saat itu memaparkan aksi ranjang antara seorang perempuan tidak dikenali dengan lelaki yang mempunyai wajah dikatakan mirip dengan Chong Wei.

Tayangan perdana Lee Chong Wei: Rise Of The Legend yang bakal berlangsung pada 9 Mac depan dijangka bakal mencatat rekod antarabangsa dengan jumlah kehadiran penonton seramai 30,000 termasuk dari China.

Manakala untuk tontonan umum, filem yang diarahkan oleh Teng Bee itu bakal menjengah pawagam pada 15 Mac.

Lihat Komen
ADS