Walau kerepot cinta tetap cinta
Bukan aneh untuk seseorang selebriti menunjukkan kemesraan dengan pasangan masing-masing.
Ketika ada sesetengah peminat seakan berasa menyampah dengan aksi begitu penyanyi dangdut terkenal, Inul Daratistas, selamba memuat naik gambarnya bersama suami, Adam Suseno.
Kelihatan masih lena, Inul, 39, nampak manja merangkul kepala suaminya terbabit, manakala dagunya berada di dahi lelaki berkenaan.
Melalui keterangan gambar pada akuan Instagram itu juga Inul menjelaskan mengapa dia mencintai Adam yang dianggap pelengkap rumahtangganya.
"Mencintaimu bukan saja kerana kumismu sing kandel tebel, tapi karena jodoh, takdir dan ibadah.
"Imam dalam rumahtangga, jadi bapakku, jadi suamiku dan temanku saat susah sedih senang bahagia dan capek," katanya.
Inul juga menyatakan azamnya untuk kekal bersama Adam walaupun sudah kerepot.
Menganggap Adam sebagai lelaki yang mampu merobohkan kesombongannya, Inul berkata dia cukup berbahagian dengan lelaki terbabit.
"Muda bersama, tua pun akan bersama. Dulu ganteng sekarang mulai kerepot tetap cinta," katanya.
Turut diungkapkan penyanyi yang terkenal dengan aksi goyang gerudi itu ialah kesukaan bersama dia serta pasangannya kepada tempe.
"Sihatkan jiwa raga kami. Panjangkan usia kami dalam sihat. Dalam keadaan begini pun kami tetap bahagia
"Kami masih doyan (gemar) tempe dan makan nasi bungkus," katanya.

