Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penyanyi nasyid, R&B bakal saman Farid Kamil?
Diterbitkan:  Feb 21, 2018 11:27 AM
Dikemaskini: 3:38 AM

Penyanyi nasyid, Osh dan Taj dari kumpulan Innuendo yang popular pada era 1990-an dikatakan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Farid Kamil susulan dakwaan dibuat pelakon itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam mereka, Muhammad Akmal Arif Shamsul Kahar menerusi kenyataan kepada media.

Menurutnya, Osh atau nama sebenar Ahmad Fairuz Ahmad Rusli , 47, sudah memberi keterangan minggu lalu.

Manakala Taj atau Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir muncul di Balai Polis Mutiara Damansara semalam untuk memberi keterangan ke atas dakwaan dibuat Farid berhubung pihak yang memasukkan dadah ke dalam minuman tanpa pengetahuannya.

“Sebenarnya saya baru dilantik oleh Taj untuk mewakili dirinya. Taj juga baru dimaklumkan mengenai dakwaan Farid.

“Buat masa ini kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis. Soal mengambil tindakan undang-undang ke atas dakwaan Farid akan dibuat selepas ini berdasarkan keputusan siasatan polis,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sehubungan itu menurut Akmal, kedua-dua anak guamnya akan turut memberi kenyataan dalam sidang media yang bakal dijalankan dalam waktu terdekat.

“Barangkali kami juga akan mengadakan sidang media,” katanya.

Dalam pada itu Akmal yakin dakwaan Farid tidak menjejaskan Taj, malah berada dalam keadaan baik.

Sementara itu, Taj pula enggan memberi sebarang komen berhubung perkara terbabit.

Pada 31 Januari lalu, Farid membuat laporan polis dengan mendakwa tiga rakan artisnya mencemarkan minumannya dengan bahan terlarang.

Kejadian itu mendorong dia bertindak ganas di kaunter trafik Balai Polis Damansara pada 11 Jan lalu.

Dia turut mendakwa diberikan rokok yang sudah disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.

Pendedahan itu juga membawa kepada penahanan pelakon Sofi Jikan, 47, selepas didapati berada di bawah pengaruh dadah sewaktu hadir memberi keterangan berhubung kes terbabit di Balai Polis Damansara pada 6 Feb lalu.

Lihat Komen
ADS