Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Warkah terharu pengarah Black Panther
Diterbitkan:  Feb 21, 2018 4:57 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Kejayaan diraih filem Black Panther pada minggu pertama tayangannya membuatkan pengarah, Ryan Coogler berasa terharu.

Melalui akaun Instagram Marvel Studios @marvelstudios, Coogler menulis surat terbuka untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong filem berkenaan

"Kepada yang membeli tiket, mereka yang bercerita di media sosial tentang betapa menyerlahnya filem ini, bercakap tentang pelakon kami yang hebat, yang memakai pakaian yang tepat dan beratur di pawagam seluruh dunia sebelum menonton filem ini," tulis Coogler.

Pengarah berusia 31 tahun itu berkata dia dan isterinya hampir menitiskan air mata melihat penonton dari pelbagai latar belakang bergambar di samping poster filem berkenaan.

"Kepada media yang menulis mengenai filem ini untuk dibaca kepada mereka yang belum menontonnya dan mendorong mereka keluar menonton. Dan kepada golongan muda yang datang bersama ibu bapa, mentor dan rakan-rakan mereka.

"Terima kasih kerana memberikan pembikin filem seperti kami hadiah terbesar ini. Peluang untuk berkongsi filem ini dicurahkan sepenuhnya dari hati dan jiwa kami kepada anda," tulis Coogler lagi.

Menurut Coogler kejayaan Black Panther sebenarnya adalah hasil kerja keras pasukannya.

"Produksi filem adalah kerja berpasukan. Dan kumpulan kami terdiri daripada orang-orang luar biasa dari seluruh dunia yang percaya pada kisah ini.

"Jauh di lubuk hati, kami semua berharap penonton akan datang untuk menonton sebuah filem mengenai sebuah negara fiksyen di benua Afrika, yang dilakonkan oleh warga keturunan Afrika," kata Coogler.

Ryan Coogler, yang pada awal surat mengaku sukar menyusun kata- katanya, mengakhiri warkah terbuka itu dengan tulisan "Wakanda Forever".

Black Panther yang menjadi filem terlaris ketika ini menampilkan sebahagian besar pelakon kulit hitam.

Pada minggu pertama, filem itu meraih kutipan AS$ 235 juta mengatasi filem Justice League (AS$ 228.6 juta) sepanjang ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat.

Black Panther menampilkan Chadwick Boseman, Michael B Jordan, Lupita Nyong'o, Martin Freeman, dan Sterling K Brown.

Lihat Komen
ADS