Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mufti WP titip surat khusus buat Hajah Neelofa
Diterbitkan:  Feb 27, 2018 5:30 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Kontroversi yang timbul berikutan tindakan Neelofa melancarkan koleksi tudung barunya di salah sebuah kelab malam di ibu kota segera menarik perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad hari ini.

Menerusi satu status di laman sosial, Zulkifli memuat naik gambar beliau sedang menulis surat kepada pelakon dan pengacara tersebut.

Bagaimanapun, kandungan surat itu - setakat berita ini ditulis - tidak diketahui selain ia berisi kata-kata untuk "muhasabah bersama".

Difahamkan maklumat lanjut mengenai surat Zulkifli berkenaan akan dimuat naik di media sosial dalam masa terdekat.


Baca Surat mufti buat Hajah Neelofa


Melalui kemas kini di Facebook dan Instagram mufti berkenaan mencatat: “Menulis surat terbuka untuk Hajah Neelofa. Untuk muhasabah bersama.”

Neelofa semalam melancarkan koleksi hijab terbarunya, Be Lofa, dengan menjadikan kelab hiburan di Jalan Tun Razak itu sebagai lokasi.

Neelofa berkata, kelab malam Zouk yang terkenal itu dipilih kerana sesuai dengan tema serta peruntukan kewangan yang disediakannya.

Orang ramai yang membaca status Zulkifli turut menyatakan sokongan atas tindakan beliau dan menyifatkan ia langkah yang betul diambilnya.

“Buatlah yang terbaik. Berilah nasihat yang baik-baik.

“Alhamdulillah... harap-harap ini memberi peringatan kepada hajjah dan juga diri kita sendiri,” tulis salah seorang pengguna laman sosial itu.

Ada terlajak aksi

Neelofa dilapor turut menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-29 di majlis yang sama.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi dan pengubah lagu iaitu SonaOne.

Sementara itu personaliti Youtube, Nisa Kay mengakui tersilap langkah apabila beraksi mengghairahkan pada majlis pelancaran tersebut.

Menurut Nisa, aksi tersebut tidak menggambarkan perilaku sebenar beliau.

"Saya akui, perlakuan saya itu tidak seharusnya terjadi dan sama sekali tidak menggambarkan diri saya sebenar serta imej sebagai wanita bertudung.

"Saya akui, saya tidak memaparkan contoh yang baik, lebih-lebih lagi dengan reputasi yang perlu dijaga," katanya dipetik mStar Online.

Nisa turut mendapat kecaman banyak pihak apabila beraksi ghairah ketika menari pada majlis tersebut apatah lagi beliau seorang wanita yang bertudung.

Nisa turut mendakwa dia tidak menyangka video tersebut akan tular dan terkejut melihat komen dan posting yang dimuat naik di laman sosial.


Baca Pemuzik temui damai dalam Islam


Sementara itu pendakwah dan penulis buku, Pahrol Mohamad Juoi, turut mengulas mengenai tindakan Neelofa itu.

Tidak memetik nama selebriti terbabit Pahrol berkata promosi untuk sesuatu perniagaan tidak salah malah perniagaan sangat digalakkan dalam Islam.

Namun katanya langkah itu tidak sepatutnya sehingga melanggar batasan syariat dan akhlak.

"Niat tidak menghalalkan cara,” kata Pahrol dalam satu kenyataan di Facebook.

Tunggulah kesudahan azab

Menurut penulis buku Allah Dekat Tiada Gawat itu berada di sesuatu tempat yang sinonim dengan arak dan pergaulan bebas tidak salah jika ia bertujuan untuk berdakwah.

“Sebaliknya, jika syariat dilanggar dan nilai akhlak tercemar, berada di tempat sebegitu ialah suatu yang mungkar dan mengundang fitnah.

"Di mana kita berada itu bukan soalnya tapi yang penting ialah apa yang kita lakukan ketika kita berada di situ.

"Berada di kelab malam untuk berdakwah baik, tetapi walaupun berada di masjid untuk mencuri adalah tidak baik,” tulisnya.

Sementara itu, pendakwah bebas Norhafizah Musa mahu Neelofa mengambil kira pandangan umum tentang apa yang dilakukannya demi kebaikan bersama.

 

 

"Harta, pangkat, kedudukan dan segala kesenangan itu adalah ujian Allah SWT. Sama-sama kita doakan agar kita semua berjaya jadi hamba Allah yang bersyukur.

"Ambillah komen masyarakat dengan positif kerana sayang lillahi ta'ala.

"Masuk kelab malam ini memang minta dijauhkan sangat, jangan mudah-mudah datangkan jalan untuk orang lain mudah-mudah masuk dan berjinak-jinak dengan kelab malam.

"Insya-Allah kita semua boleh lakukan yang terbaik," katanya dalam Instagram.

Peserta program realiti TV, Shahrizan Daud Atturabi, pula meninggalkan pesanan yang mendalam dengan mengingatkan Neelofa tentang azab daripada segala perbuatannya.

"Bertakwalah kamu dan pengikut-pengikut kamu! Jika anda tidak malu buatlah apa yang anda mahu dan nantikan kesudahan azabnya," tulisnya.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS