Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Ribuan dah bertudung kerana Lofa'
Diterbitkan:  Feb 28, 2018 4:35 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Di sebalik kecaman, terdapat juga pihak yang melihat tindakan Neelofa melancarkan koleksi tudung terbarunya di kelab malam sebagai tiada masalah.

Sebuah parti baru pro-BN Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) hari ini tampil menyokong tindakan pelakon dan pengacara popular itu.

“Kita hari ini janganlah pandang negatif saja. Jangan pandang satu sudut. Mungkin itu cara Neelofa nak berdakwah.

“Seorang usahawan ada kaedah dan cara untuk mempromosikan tudung.

“Usaha yang dibawa oleh Neelafo hari ini usaha yang baik, yang disebabkan beliau beratus ribu orang berhijab,” kata presiden Pekira Datuk Mohd Ridzuan Abdullah yang juga memimpin Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS).

Kontroversi itu timbul berikutan tindakan Neelofa melancarkan koleksi tudung terbarunya Be Lofa di salah sebuah terkenal kelab hiburan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, menarik perhatian ramai.

Malah, ia mengundang Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad (bawah) menulis surat kepada usahawan wanita itu.

Surat itu antaranya menasihatkan Neelofa sentiasa memelihara imej wanita bertudung dan mencari rezeki yang diberkati Allah.

Sementara itu, Mohd Ridzuan juga mempertahankan cara Neelofa menganjurkan acara itu dengan cuba mengelak amalan negatif seperti minum arak.

“Beliau telah meletakkan syarat yang tidak dibenarkan minum arak, merokok dan sebagainya,” katanya.

Kesal dengan mufti

Sementara itu, Mohd Ridzuan juga meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan mufti Wilayah Persekutuan terhadap Neelofa.

Sepatutnya, kata Mohd Ridzuan, sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut, Zulkifli sepatutnya memastikan orang Islam tidak masuk kelab hiburan terlebih dahulu.

“Kenapa sehingga hari ini pihak mufti dan (pihak) bawah mufti ini tidak ambil tindakan terhadap orang-orang Islam yang masuk kelab itu.

“Mereka perlu memainkan peranan. Mereka perlu tempatkan anggota mereka di depan kelab.

“Pastikan orang Islam tak masuk. Ini yang sepatutnya mereka lakukan,” ujarnya.

Lihat Komen
ADS