Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Farid: Suspek letak dadah mengaku 'kerabat diraja'

Pelakon Datuk Farid Kamil hari ini mendedahkan dua individu yang didakwa meletakkan dadah dalam minumannya sebelum ini bukan Ahmad Tajuddin (Taj Innuendo) dan Ahmad Fairuz (Osh) dari kumpulan nasyid Firdaus.

Sebaliknya dia mendakwa individu tersebut adalah dua orang daripada industri hiburan yang memperkenalkan diri mereka sebagai kerabat diraja Kedah dan kerabat diraja Johor.

"Saya menyebut dua nama iaitu Osh dan Taj dalam laporan polis saya tetapi agak memeranjatkan apabila dua individu lain yang dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan.

"Malam sebelum saya ditahan, dua individu ini berjumpa dengan saya. Apa yang saya tahu, salah seorang merupakan pengurus artis dan seorang lagi penyanyi. Tetapi saya tidak mengenali mereka walaupun dalam satu industri.

"Ketika perjumpaan itu mereka memperkenalkan diri mereka sebagai kerabat diraja Johor dan seorang lagi kerabat diraja Kedah. Kemudian mereka mengatakan ada perkara penting yang ingin dibincangkan tetapi tahu-tahu saya sudah tidak sedar diri," katanya dalam sidang media khas bertempat di The Loft Event Space, Shah Alam, hari ini.

Dalam majlis yang sama, Farid berkongsi dua gambar individu yang dimaksudkan secara eksklusif kepada pihak media.

Pada 31 Jan lalu, Farid membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artisnya mencemarkan minumannya dengan bahan terlarang.

Kejadian itu mendorong dia bertindak ganas di kaunter trafik Balai Polis Damansara pada 11 Jan lalu.

Dia turut mendakwa diberikan rokok yang sudah disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.

Pendedahan itu juga membawa kepada penahanan pelakon Sofi Jikan, 47, selepas didapati berada di bawah pengaruh dadah sewaktu hadir memberi keterangan di Balai Polis Damansara pada 6 Feb lalu.

Persoal gambar tular

Sementara itu, Farid juga turut mempersoalkan penularan gambar-gambar beliau ketika berada dalam tahanan polis.

Menurut Farid, gambar tersebut tidak sewajarnya ditularkan dan meminta pihak peguam menyiasat pihak yang menyebarkannya.

Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Manakala pada 25 Januari lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret sama atas pertuduhan mengambil dadah jenis jenis THC iaitu dalam kumpulan ganja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS