Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Neelofa hilang lebih 40k pengikut di Instagram
Diterbitkan:  Mar 1, 2018 11:33 AM
Dikemaskini: 4:14 AM

Pelakon dan pengacara popular, Neelofa kehilangan lebih 40,000 pengikut di Instagram susulan kontroversi kerana menganjurkan majlis pelancaran koleksi tudung di sebuah kelab malam di ibu negara.

Berdasarkan statistik yang ditunjukkan oleh laman socialblade.com, Neelofa kehilangan sejumlah besar pengikutnya sejak tercetusnya insiden berkenaan.

Selebriti itu kehilangan jumlah paling besar pengikutnya semalam apabila kira-kira 32,000 pengguna Instagram mengambil keputusan untuk 'unfollow' atau menarik diri daripada menjadi pengikutnya.

Setakat semakan jam 11.30 pagi hari ini, Neelofa kehilangan lagi kira-kira 7,000 pengikut, menjadikan jumlah keseluruhan pengikutnya kini seramai 5.46 juta orang.

Semakan juga mendapati Neelofa terus menerima kecaman sehingga dia terpaksa menutup ruangan komen dalam salah satu entri di Instagram.

Terdahulu, Neelofa menerima kecaman berikutan penganjuran majlis hari jadi dan pelancaran koleksi jenama tudungnya, Be Lofa di Zouk, sebuah kelab hiburan terkenal di ibu negara.

Turut menerima kecaman daripada netizen adalah personaliti Youtube, Nisa Kay yang dilihat menari secara ghairah pada majlis berkenaan.

Malah tindakan Neelofa melancarkan koleksi terbaru tudungnya di kelab malam turut mengundang Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad menulis surat terbuka kepada usahawan wanita itu.

Surat itu antaranya menasihatkan Neelofa sentiasa memelihara imej wanita bertudung dan mencari rezeki yang diberkati Allah.

Semalam, syarikat pengeluar tudung milik Neelofa, Naelofar Hijab menerusi kenyataannya kepada media memohon maaf atas kontroversi yang berlaku sehingga menimbulkan pelbagai reaksi terutamanya daripada masyarakat Islam.

Pengarah urusan PH Prima Sdn Bhd itu berkata pihaknya juga memastikan acara berkenaan tidak dikaitkan dengan minuman keras dan merokok dilarang sama sekali.

Sementara itu, BH Online melaporkan Neelofa menjelaskan keputusannya untuk tidak menghadiri program Transformasi Nasional 2050 (TN50) malam ini disebabkan tidak mahu majlis itu terganggu dengan kontroversi melibatkan dirinya.

Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 29, memberitahu, keputusan itu dibuat atas kerelaan sendiri dan perbincangan bersama penganjur.

"Diharapkan, keputusan yang dibuat ini dapat memberi ruang kepada orang ramai untuk menghayati segala mesej dan agenda penting negara yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Sekali lagi, saya memohon maaf atas keputusan ini," katanya kepada BH Online.

Lihat Komen
ADS