Filem The Shape Of Water diumum sebagai pemenang Anugerah Oscar 2018 bagi kategori filem terbaik di Academy Awards ke-90 yang diadakan di Dolby Theater di Hollywood, California.
Filem arahan Guillermo Del Toro itu menewaskan beberapa filem lain seperti The Big Sick, Call Me By Your Name, Dunkirk, Get Out, Wonder Woman, Lady Bird dan Three Billboards Outside Ebbing, Missouri.
Selain Guillermo Del Toro turut dinobatkan sebagai pengarah filem terbaik, The Shape Of Water turut menggondol anugerah bagi kategori gambar terbaik bagi filem berkenaan.
Filem itu malah menerima pencalonan terbanyak iaitu sebanyak 13 pencalonan pada anugerah Oscar kali ini.
Ketika menerima anugerah berkenaan, Del Toro berkata "Saya ingin mempersembahkan ini kepada pembikin filem muda, orang muda yang tunjukkan (kepada kita) bagaimana menyudahkan sesuatu".
Filem thriler fantasi di era perang dingin itu mengisahkan Sally Hawkins seorang wanita bisu yang bekerja sebagai tukang cuci dan jatuh cinta kepada seekor manusia hibrid yang hidup di dalam air di sebuah tangki makmal rahsia di Baltimore, Amerika Syarikat.
Del Toro yang merupakan kelahiran Mexico sebelum ini pernah dicalonkan pada tahun 2007 untuk naskah asli terbaik dan filem bahasa asing terbaik atas karyanya, Pan's Labyrinth.
Sebelum ini The Shape Of Water turut memenangi filem terbaik pada Anugerah Critics 'Choice dan Producers Guild.
Filem ini juga dikaitkan dengan kontroversi kerana dituduh merupakan plagiat daripada filem Let Me Hear Your Whisper pada tahun 1969. Studio filem, Fox Search Light bagaimanapun menafikan tuduhan berkenaan.
